POLITIK

Manifesto PH hasil suara rakyat, bukan ‘copy paste’

SEGAMAT – Manifesto Pakatah Harapan (PH) bukan ‘copy paste’ tetapi merupakan hasil daripada tindakan mereka yang mendengar suara rakyat.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata demikian bagi membidas dakwaan bahawa manifesto tersebut ‘ditiru’ daripada pihak lain.

“Ada orang kata kita keluarkan manifesto ini lambat, seminggu lambat dia kata. Dia kata, bila dia bandingkan antara manifesto Barisan Nasional (BN) dan juga PH, dia kata kita ‘copy and paste’ manifesto tersebut.

“Saya nak tanya anda semua di sini, betulkah kerja kita ini ‘copy and paste’? Betulkah? Tidak.

“Kita buat kerja ini begitu lama untuk turun ke bawah, mendengar suara rakyat, mendengar rintihan rakyat. Inilah yang kita bawa supaya kita dapat menawarkan atau yang dikehendaki oleh akar umbi dan rakyat,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian semasa berucap pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa, di sini hari ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Program Himpunan Anak Muda Tiram di Johor Bahru, baru-baru ini, mendakwa bahawa apa yang terkandung dalam manifesto PH, sudah pun dan sedang dilaksana BN.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, sekiranya PH memenangi PRN Johor, antara perkara yang akan dilaksanakan adalah dengan menyediakan 250,000 peluang pekerjaan kepada golongan muda dalam masa lima tahun.

Menurutnya, penyediaan peluang pekerjaan kepada golonga muda itu sekali gus membolehkan mereka tidak merantau ke bandar lain atau ke Singapura.

Katanya, selain peluang pekerjaan, PH juga akan menyediakan wang deposit sebanyak RM8,000 kepada golongan muda yang pertama kali membeli rumah.

“Kita tawarkan itu satu perkara yang saya kira sangat istimewa yang kita beri keutamaan kepada anak muda.

“Banyak lagi perkara lain yang kita tawarkan (seperti) RM500 juta juga kita tawarkan untuk membantu anak muda kita,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button