PRN Johor: DAP optimis keupayaan calon baharu
BATU PAHAT – Parti DAP yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, optimis dengan keupayaan barisan muka baharu yang diketengahkan.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah berani DAP Johor mengetengahkan calon yang tidak pernah bertanding sebelum ini adalah untuk memberi ruang kepada anak muda berada di barisan hadapan, sekali gus membawa perubahan di kawasan masing-masing, lapor BERNAMA.
Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi berkata, meskipun berstatus muka baharu, calon yang diketengahkan bukanlah individu asing dalam arena politik kerana kebanyakannya berpengalaman luas bekerja di belakang tabir parti sebelum ini.
“Kita beri ruang kepada mereka untuk berkhidmat sebagai calon dan jika ada rezeki akan menjadi wakil rakyat pula. Kita ketengahkan calon baharu dan muda, tetapi tidak ketepikan orang lama.
“Kita akan libatkan juga mereka (orang lama) yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sebagainya dalam kempen serta gerak kerja,” katanya kepada Bernama selepas sesi santai sarapan bersama calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, di sini hari ini.
Hadir sama, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman dan calon DAP DUN Parit Raja, Shazwan Zdainal Abidin.
Saingan di DUN tersebut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Shazwan; penyandang, Nor Rashidah Ramli dari Barisan Nasional (BN-UMNO) dan Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dari Perikatan Nasional (PN-BERSATU).
Sementara itu, Young Syefura berkata, sokongan padu diberikan kepada muka baharu bagi membuktikan setiap individu dalam DAP mempunyai kekuatan tersendiri untuk memimpin, selain mahu menonjolkan bakat mereka di peringkat akar umbi.
“Sebagai contoh calon Parit Raja (Shazwan Dzainal) merupakan anak tempatan Batu Pahat juga berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang politik termasuk pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada ADUN Penggaram,” katanya.
Beliau turut memuji semangat positif yang dipamerkan Shazwan sepanjang enam hari tempoh kempen berlalu, meskipun menyedari DUN Parit Raja merupakan antara kubu kuat BN.
Dalam pada itu, Shazwan mengakui gembira dengan maklum balas penduduk setempat yang menerima baik kehadirannya walaupun pada mulanya beliau berasa agak gementar.
“Teruja untuk bertanding di sini yang sememangnya kubu UMNO, BN tetapi kali ini sambutan sangat baik dalam kalangan penduduk, malah ada juga yang memanggil saya untuk berswafoto dan ini memberikan kekuatan kepada saya,” katanya lagi.
Pada PRN kali ini, DAP yang bertanding atas tiket PH meletakkan 17 calon iaitu di DUN Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Parit Raja, Penggaram, Mengkibol dan Paloh.
DUN lain yang ditandingi ialah Tiram, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Bukit Permai, Senai dan Pekan Nanas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








