Aliran minyak Selat Hormuz kembali pulih, harga global mula stabil – Vance
WASHINGTON – Aliran eksport minyak melalui Selat Hormuz dilaporkan kembali ke tahap sebelum konflik tercetus, sekali gus memberi petanda positif terhadap pemulihan ekonomi global dan kestabilan pasaran tenaga antarabangsa.
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance berkata, laluan perkapalan strategik itu kini beroperasi seperti biasa dengan jumlah penghantaran minyak yang semakin meningkat.
Menurutnya, terdapat hari-hari tertentu yang menyaksikan jumlah minyak yang melalui Selat Hormuz melebihi kadar sebelum perang bermula.
“Selat Hormuz terbuka dalam erti kata bahawa kita melihat lebih banyak minyak keluar melaluinya.
“Ada hari-hari tertentu yang menunjukkan lebih banyak minyak keluar dari selat itu berbanding sebelum konflik bermula. Ini menunjukkan ekonomi dunia sedang kembali bergerak ke arah pemulihan,” memetik Awani online.
Vance menjelaskan, peningkatan aliran eksport minyak itu turut membantu menurunkan harga minyak global walaupun proses pemulihan ekonomi secara menyeluruh dijangka mengambil sedikit masa.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia kerana mengendalikan sebahagian besar penghantaran minyak mentah dan gas asli dari rantau Teluk ke pasaran antarabangsa.
Sebarang gangguan di kawasan tersebut lazimnya memberi kesan langsung kepada bekalan tenaga dan harga minyak dunia.
Dalam pada itu, Vance turut mengaitkan perkembangan positif berkenaan dengan usaha diplomatik yang sedang berlangsung antara beberapa negara di Asia Barat.
Menurutnya, sekiranya perjanjian damai melibatkan Lubnan dan Israel dapat diselaraskan dengan memorandum persefahaman (MoU) antara AS dan Iran, ia berpotensi memperkukuh kestabilan rantau berkenaan.
“Kedua-dua dokumen itu pada asasnya menyatakan bahawa integriti wilayah Lubnan akan dihormati,” katanya lagi.
Kenyataan itu dibuat ketika AS dan Iran terus berusaha melaksanakan beberapa komponen MoU yang bertujuan mengurangkan ketegangan serantau, meningkatkan keselamatan perkapalan serta memastikan kestabilan bekalan tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








