Tatakelola baik lonjak prestasi koperasi – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa aspek tatakelola, integriti dan pengurusan bebas rasuah perlu dijadikan keutamaan bagi memastikan organisasi termasuk koperasi terus berkembang secara mampan.
Beliau berkata, koperasi di negara ini mempunyai potensi besar untuk mencapai prestasi lebih cemerlang sekiranya diurus secara telus, berkesan dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.
Menurutnya, kelemahan dalam aspek pengurusan serta ketirisan boleh menyebabkan manfaat ekonomi hanya dinikmati oleh kelompok kecil, sekali gus menjejaskan objektif asal penubuhan koperasi.
“Koperasi khususnya di negara ini mampu mencatat prestasi yang baik jika diurus dengan baik. Sebab itu pengurusan berkaitan rasuah dan penguatkuasaan amat penting,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) Kali Ke-10 di sini, hari ini.
Beliau turut berkata, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam atau luar kerajaan, isu tatakelola tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada agihan kekayaan negara.
“Kadangkala wujud percanggahan pandangan sama ada dalam atau luar kerajaan, namun jika ia tidak diperbetulkan, wang yang diperoleh walaupun banyak tidak akan memberi manfaat kepada ramai.
“Sebaliknya, kekayaan itu hanya akan dinikmati oleh kelompok kecil tertentu. Sebab itu saya katakan tatakelola yang baik amat penting,” katanya lagi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi KOPROJAYA, Saiful Azhar Shaharun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








