BERITA SEMASA

Ganggu urusan penjawat awam: KP J-KOM buat laporan polis, cabar Albert Tei berdebat

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei, atas dakwaan mengganggu ketenteraman awam serta menyebarkan tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi.

Mohd Hisyamuddin yang baharu dilantik mengepalai jawatan itu berkata, tindakan Tei yang didakwa menceroboh kawasan premis kerajaan bagi mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi dan menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam merupakan perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan.

Menurut beliau, perhimpunan yang diadakan di Menara Komunikasi memberi kesan negatif terhadap operasi harian kementerian, khususnya apabila ia mengganggu laluan utama yang digunakan ribuan penjawat awam untuk memasuki tempat kerja.

“Laporan polis ini dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tindakan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan rangkaian komunikasi bagi tujuan gangguan dan provokasi.

“Selain itu, laporan turut dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 berhubung kelakuan yang didakwa menghina penjawat awam,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali di sidang media selepas membuat laporan berkenaan. Foto – Ridhwan Syahir Malaysia Tribune

Terdahulu, Tei dan sekumpulan individu dilaporkan beberapa kali mengadakan protes serta perhimpunan di pekarangan Kementerian Komunikasi bagi membantah dakwaan sekatan terhadap akaun media sosial miliknya.

Mohd Hisyamuddin berkata, Tei juga didakwa membuat tuduhan terbuka mengenai campur tangan Kementerian Komunikasi dalam isu sekatan akaun media sosialnya selain menyebarkan kenyataan yang menurutnya tidak disokong bukti dan boleh menjejaskan imej institusi kerajaan.

Dalam perkembangan sama, Tei bersama beberapa individu muncul secara tiba-tiba ketika sidang akhbar berkenaan dan mengemukakan beberapa soalan kepada Mohd Hisyamuddin, termasuk meminta penjelasan mengenai bentuk gangguan yang didakwa dilakukan olehnya.

Albert Tei turut hadir di sidang media tersebut. Foto – Ridhwan Syahir Malaysia Tribune

Bagaimanapun, Mohd Hisyamuddin memilih untuk tidak berdebat dalam sidang media tersebut, sebaliknya mencadangkan supaya satu sesi perdebatan khas diadakan bagi membincangkan isu berkenaan secara terbuka.

“Saya akan sediakan pentas. Kita berdua berdebat. Soalan itu awak simpan, kita debat berdua,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu lebih sesuai bagi membolehkan semua isu yang dibangkitkan dibincangkan secara teratur dan telus tanpa mengganggu urusan rasmi kementerian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button