ONTHEGO pecah dominasi minuman protein mahal, tawar harga bawah RM100
SEPANG – Jenama pemakanan sukan tempatan, ONTHEGO F&B Industry Sdn Bhd tampil memecah dominasi produk nutrisi import menerusi penawaran serbuk minuman protein pada harga bawah RM100, sekali gus membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan makanan tambahan berkualiti pada harga mampu milik.
Strategi itu ternyata membuahkan hasil apabila syarikat yang diasaskan dua usahawan muda tempatan berkenaan berjaya mencatat jualan mencecah angka lapan digit dalam tempoh kurang setahun beroperasi sepenuhnya.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Arieff Abas berkata, kebanyakan produk protein di pasaran dijual pada harga yang tinggi sehingga menyukarkan sebahagian pengguna untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada amalan pemakanan harian.
“Ramai orang Malaysia pakai protein, tetapi ramai yang tak dapat pakai sebab harga dia terlalu mahal. Jadi kita cipta satu protein berasaskan sumber protein dengan harga bawah RM100, sekali gua ia lebih mampu milik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat syarikat itu, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, produk protein ONTHEGO yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu menerima sambutan menggalakkan dengan jualan melebihi 400,000 pek setakat ini.
Menurutnya, antara faktor yang mendorong permintaan tinggi ialah usaha syarikat mendidik pengguna bahawa protein bukan hanya untuk golongan atlet atau pembina badan, sebaliknya diperlukan oleh semua individu bagi memenuhi keperluan nutrisi harian.
“Ramai orang ingat produk protein ini hanya untuk bina badan, tetapi semua itu tidak betul. Kita cuba mendidik pasaran bahawa protein diperlukan semua orang dan sangat membantu untuk mencukupkan pengambilan protein harian,” katanya.
Syarikat itu diasaskan oleh Abdul Arieff bersama Pengarah Urusannya, Muhammad Emuff Dhiya Ishak yang memulakan operasi pada Ogos 2024 menerusi pengeluaran produk perasa makanan sifar kalori yang disasarkan kepada pengguna yang mengamalkan gaya hidup sihat.
Muhammad Emuff berkata, idea penubuhan ONTHEGO bermula daripada keinginan membina ekosistem gaya hidup sihat yang lebih mudah diakses rakyat Malaysia.
“Kita cuba bina satu ekosistem gaya hidup sihat untuk rakyat Malaysia. Semua produk kita berasaskan makanan dan lebih kepada produk diet yang mudah digunakan bagi membantu orang Malaysia konsisten dengan diet mereka,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan syarikat turut didorong oleh pendekatan berteraskan ketelusan apabila semua produk menjalani ujian makmal pihak ketiga selain menggunakan bahan mentah yang diperoleh sendiri.
Menurut Abdul Arieff, ONTHEGO juga memiliki dan mengendalikan kilang pengeluaran sendiri di Selangor, sekali gus membolehkan syarikat mengawal keseluruhan proses pembuatan tanpa bergantung kepada produk siap dari luar negara.
“Isu yang berlaku dalam industri menyebabkan pengguna semakin mementingkan ketelusan. Jadi kita tunjukkan kepada pelanggan ujian makmal dan sumber bahan yang digunakan bagi membina kepercayaan terhadap jenama,” katanya.
Selain produk perasa makanan dan serbuk protein, syarikat itu turut menawarkan produk kreatin serta beberapa aksesori kecergasan yang disasarkan kepada komuniti sukan dan kecergasan.
Pada masa sama, ONTHEGO aktif menyokong pembangunan sukan bina badan tempatan dengan menaja enam atlet yang mewakili negara di kejohanan antarabangsa.
Syarikat itu juga menjalinkan kerjasama dengan selebriti, pencipta kandungan serta pempengaruh bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemakanan sihat dalam kalangan masyarakat.
Mengulas perancangan masa depan, Abdul Arieff berkata syarikat menyasarkan untuk muncul sebagai jenama nutrisi sukan terbesar di Malaysia sebelum memperluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa.
“Kita nak ONTHEGO menjadi jenama sport nutrition terbesar di Malaysia dan selepas itu berkembang ke pasaran global. Kita sudah menerima permintaan dari Singapura dan Brunei, cuma kini menunggu proses pensijilan halal diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu telah memenuhi keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kini sedang menjalani proses audit pensijilan halal yang dijangka diperoleh menjelang Ogos ini.
Dengan lebih 20 kakitangan ketika ini serta pelancaran beberapa produk baharu yang dirancang dalam tempoh terdekat, ONTHEGO optimis mampu meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai sejak penubuhannya hampir dua tahun lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















