
Maxwell Basecamp anjur Larian Malam Ramadan sempena Suunto Vertical Week
TAIPING – Maxwell Basecamp yang diiktiraf sebagai Suunto Regional Hub di Asia Tenggara oleh Suunto Oy akan menganjurkan Larian Malam Ramadan bersempena Suunto Vertical Week pada 28 Februari ini.
Acara yang berlangsung di Maxwell Basecamp, Kaki Bukit Larut itu bukan sahaja meraikan minggu khas anjuran jenama jam sukan terkemuka berkenaan, malah bertepatan dengan bulan Ramadan bagi menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Penganjuran program tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada Suunto sebagai sebahagian daripada rangkaian acara serantau.
Menurut penganjur, larian akan bermula jam 9.30 malam hingga 1 pagi (1 Mac 2026) dengan menggunakan laluan Suunto Vertical Segment, iaitu segmen rasmi yang terdapat pada jam tangan Suunto serta disenaraikan dalam ranking Strava.
“Program ini bukan sekadar acara sukan, tetapi platform mengeratkan hubungan komuniti, khususnya dalam suasana Ramadan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Yuran penyertaan sebanyak RM20, merangkumi penyediaan makanan ringan.
Hasil kutipan akan disalurkan kepada program konservasi dan penyelenggaraan di Maxwell Basecamp.
Bersempena bulan mulia ini, peserta turut digalakkan membawa makanan sendiri untuk sesi potluck sebagai simbol perkongsian dan mengukuhkan silaturahim antara peserta.
Larian tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan dijangka menghimpunkan peminat larian denai serta komuniti kecergasan dari seluruh negara bagi menikmati pengalaman unik berlari pada waktu malam di kawasan Bukit Larut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








