BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

69 warga asing ditahan dalam serbuan perhimpunan pra Krismas di Nilai

NILAI – Seramai 69 individu ditahan dalam satu serbuan Jabatan Imigresen di sebuah perhimpunan warga asing bagi meraikan majlis pra Krismas di sebuah hotel di sini malam kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, seramai 253 orang yang hadir pada majlis di dewan sebuah hotel bertaraf dua bintang itu diperiksa dalam operasi pukul 10 malam.

Beliau berkata, pihak Imigresen dengan kerjasama polis negeri turut menahan empat individu yang dipercayai menjadi dalang perhimpunan itu.

“Hasil pemeriksaan, 69 pendatang tanpa izin ditahan. Mereka terdiri daripada 55 lelaki dan 14 wanita. Antara aktiviti perhimpunan ini termasuk ceramah dan sambutan pra-Krismas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Kennith menjelaskan, kebanyakan warga asing yang hadir bekerja di sekitar Bandar Nilai, Kuala Lumpur, dan kawasan Lembah Klang. Mereka tiba ke lokasi menggunakan bas sewa khas.

“Ketika serbuan dilakukan, warga asing tersebut tidak sempat meloloskan diri kerana pasukan operasi telah mengepung semua pintu keluar,” katanya.

Kesalahan yang dikenal pasti termasuk ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan pelanggaran lain di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua individu yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Kennith, serbuan tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan risikan pihak Imigresen selama seminggu, yang turut mengambil kira risalah berkaitan acara yang diedarkan kepada warga asing.

Katanya, operasi itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan undang-undang imigresen di negara ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button