BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

MPSepang serbu operasi pasar dalam semak milik warga asing

CYBERJAYA – Operasi pasar bahan mentah yang dijalankan oleh sekumpulan warga asing dengan berlindung di sebalik semak diserbu pihak berkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dalam operasi di sini, semalam.

Aktiviti penjajaan haram tersebut dipercayai mensasarkan pelanggan dalam kalangan pekerja warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berhampiran.

MPSepang berkata, operasi pemantauan dan rondaan yang diketuai Unit Penjaja Utara itu bertujuan membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen oleh warga asing.

“Hasil pemeriksaan, beberapa penjaja warga asing dikesan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran dan dikenakan tindakan tegas.

“Sebanyak tujuh notis inventori telah dikeluarkan terhadap peniaga yang melanggar peraturan, selain tindakan sitaan turut diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anggota penguatkuasa MPSepang menyerbu operasi pasar haram di Cyberjaya, semalam.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan dibuat mengikut Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja MP Sepang 2007 – Kesalahan menjaja tanpa lesen yang sah.

Tindakan juga diambil mengikut Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu kesalahan meletak barangan perniagaan di tempat awam sehingga mengganggu laluan dan keselesaan orang ramai.

MPSepang menegaskan bahawa perniagaan tanpa lesen adalah dilarang dan mereka yang ingin menjalankan perniagaan secara sah perlu mendapatkan lesen melalui Jabatan Perlesenan MPSepang.

“Kami akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan peraturan dipatuhi demi kebersihan, keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button