[VIDEO] PM India tiba di Malaysia, mulakan lawatan rasmi dua hari
SEPANG – Perdana Menteri India, Narendra Modi tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari yang dijangka memperkukuh lagi hubungan strategik antara Kuala Lumpur dan New Delhi.
Ketibaan Modi bersama delegasinya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.40 petang disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan yang bertindak sebagai menteri pengiring.
Menurut laporan Bernama, Modi kemudiannya memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Afiq Aiman Mohd Zulkifli.

Suasana sambutan diserikan dengan kibaran Jalur Gemilang dan bendera India oleh 100 pelajar dari Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Menengah Sains Banting serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bandar Baru Salak Tinggi.
Selain itu, persembahan kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia turut dipersembahkan, bermula dengan tiupan tetuang diikuti paluan gendang MADANI melibatkan jidor, gendang Cina dan dhol oleh 12 pemuzik pelbagai etnik.
Acara sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh 40 penari Artistana Istana Budaya yang mengenakan kostum bertemakan kepelbagaian kaum, menampilkan koreografi berunsur tradisional dan moden.
Selepas acara sambutan, Modi menaiki kenderaan bersama Anwar menuju ke Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines.
@malaysiatribune Perdana Menteri India, Narendra Modi, tiba di Malaysia hari ini untuk lawatan rasmi dua hari atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pesawat yang membawa beliau mendarat di KLIA pada pukul 4.40 petang, disambut sendiri oleh Anwar serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, sebelum Modi memeriksa kawalan kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. #malaysiatribune #trendingnewsmalaysia #beritatiktok #beritasemasa #malaysiatribune #pmx
Lawatan ini merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024, selain menjadi lawatan ketiga Modi ke Malaysia dan yang pertama sejak hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos tahun lalu.
Menurut Kementerian Luar, Modi dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Anwar esok bagi menilai pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif serta merangka hala tuju baharu kerjasama antara kedua-dua negara.
Perbincangan dijangka merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan, pertanian, pendidikan serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran pelbagai perjanjian dan dokumen kerjasama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) membanteras rasuah, piawaian latihan dan pensijilan pelaut, pengurusan bencana serta kerjasama dalam bidang tenaga kerja.
Turut dijangka ditandatangani ialah perjanjian dalam bidang penerbitan audio visual, semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran surat berkaitan kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cat Alliance.
Malaysia dan India mempunyai hubungan sejarah serta budaya yang erat, disokong oleh kira-kira 2.9 juta komuniti diaspora India di Malaysia iaitu yang ketiga terbesar di dunia.
Hubungan ekonomi kedua-dua negara terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM79.49 bilion (AS$18.59 bilion) pada 2025.
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia bernilai RM52.3 bilion (AS$12.24 bilion) manakala import dari India berjumlah RM27.19 bilion (AS$6.35 bilion), melibatkan terutamanya produk pertanian, petroleum, kimia serta barangan elektrik dan elektronik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








