JENAYAH & MAHKAMAH

Video pergaduhan depan Hospital Bukit Mertajam rakaman lama, polis sahkan tiada insiden baharu

KUALA LUMPUR – Polis Pulau Pinang menegaskan video yang tular di media sosial kononnya memaparkan pergaduhan di hadapan Hospital Bukit Mertajam bukan kejadian terkini, sebaliknya rakaman lama yang berlaku pada tahun 2023.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, video berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan situasi yang berlaku semalam di kawasan hospital tersebut.

Menurut beliau, hasil semakan pihak polis juga mendapati tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku di lokasi berkenaan.

“Semalam hanya berlangsung perarakan keagamaan dan upacara sembahyang tahunan (Thiruvilla),” katanya memetik laporan FMT.

Azizee menjelaskan, perarakan tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam dan berakhir sekitar pukul 11.30 malam.

Terdahulu, sebuah video yang memaparkan pergaduhan didakwa berlaku di hadapan Hospital Bukit Mertajam menjadi tular selepas dikongsi beberapa personaliti media sosial.

Penularan video itu turut dikaitkan dengan dakwaan bahawa terdapat rancangan oleh pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah kewujudan sebuah kuil berhampiran hospital berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer turut membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook yang mendakwa terdapat rancangan untuk merobohkan sebuah kuil Hindu di hadapan Hospital Bukit Mertajam.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang mendakwa, pendakwah bebas, Zamri Vinoth telah memuat naik kandungan yang bersifat provokasi dan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button