Isu tuntutan RM100,000 punca pergaduhan di Mount Austin
JOHOR BAHRU – Insiden pergaduhan bersenjata membabitkan sekumpulan lelaki di Taman Mount Austin, di sini 27 Dis lalu, berpunca daripada ketidakpuasan hati kerana gagal menuntut wang berjumlah RM100,000.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, siasatan awal mendapati, rakan mangsa meminjamkan akaun bank kepada salah seorang suspek.
Sejumlah RM100,000 kemudiannya didepositkan ke dalam akaun berkenaan dan wang itu dikeluarkan rakan mangsa secara berperingkat menyebabkan suspek berasa tidak puas hati.
Katanya, ia mengakibatkan suspek menuntut bayaran balik daripada rakan mangsa.
Ketika kejadian pukul 3.50 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun menemani rakannya ke lokasi di hadapan sebuah restoran bagi sesi perbincangan.
“Ketika sesi perbincangan, dipercayai berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa diserang manakala rakannya berjaya melarikan diri.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan termasuk di kepala dan masih menerima rawatan di sebuah hospital di bandar raya ini serta dalam keadaan stabil,” katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan isu kongsi gelap atau sindiket ceti haram sebaliknya perselisihan faham antara rakan berkaitan pertikaian pinjaman perniagaan secara peribadi.
Menurutnya, setakat ini seramai 13 individu ditahan antara 27 Disember hingga 28 Disember termasuk 12 lelaki serta wanita warga Vietnam yang juga isteri kepada seorang suspek.
Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 40 tahun.
“Ujian saringan awal air kencing empat suspek didapati positif dadah jenis ketamin.
“Kesemua 12 suspek lelaki direman selama tujuh hari hingga 3 Januari 2026 manakala suspek wanita direman selama tiga hari sehingga 30 Disember di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan diteruskan untuk mengenalpasti sekiranya terdapat suspek yang masih bebas dan senjata digunakan semasa kejadian rusuhan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan boleh sampai 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat.
Menurutnya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh.
Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata dalam rusuhan.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu memasukkan dadah ke badan sendiri.
“Polis menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan penjenayah yang menggugat keselamatan serta kesejahteraan awam,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








