TVET: Kerajaan sasar 650,000 pelajar tahun ini – Zahid
PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 650,000 pelajar mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada tahun ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir yang semakin meningkat dalam pelbagai sektor industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu dilihat realistik berdasarkan peningkatan ketara jumlah pelajar TVET sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk hampir 600,000 pelajar yang direkodkan pada tahun lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, sasaran tersebut dijangka dapat dicapai menerusi 1,395 institusi TVET di seluruh negara yang menawarkan pelbagai bidang latihan mengikut keperluan industri tempatan dan antarabangsa.
“Jumlah kemasukan pelajar ke institusi TVET menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan apabila mencecah kira-kira 587,000 orang pada tahun lalu berbanding hanya sekitar 121,000 pelajar ketika agenda pemerkasaan TVET mula diperkenalkan.
“Peningkatan hampir lima kali ganda ini membuktikan tahap kesedaran ibu bapa dan pelajar terhadap kepentingan TVET semakin tinggi.
“Ini merupakan pencapaian yang amat baik dan menunjukkan TVET kini semakin diterima sebagai laluan pendidikan yang mampu menjamin masa depan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan sambutan Hari TVET Negara 2026, di sini hari ini.
Mengulas mengenai penganjuran Hari TVET Negara 2026, Zahid berkata, program yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini itu bertujuan memperkenalkan konsep dan peluang TVET kepada pelajar institusi berkenaan serta bakal pemohon yang berminat menceburi bidang kemahiran.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan sistem TVET negara terus relevan dan mampu memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin menuntut kemahiran tinggi, khususnya dalam sektor strategik serta berteknologi tinggi.
“Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bagi memenuhi permintaan industri yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi daripada Malaysia.
“Secara tidak langsung, usaha ini juga dapat membantu meningkatkan gaji permulaan graduan TVET apabila mereka memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun laluan akademik menerusi institusi pengajian tinggi awam dan swasta terus diperkasakan, TVET kini diberikan perhatian khusus kerana keupayaannya memenuhi kehendak sebenar pasaran tenaga kerja.
Justeru, kerajaan mahu melihat TVET menjadi antara pilihan utama pelajar selepas tamat persekolahan, sekali gus memperkukuh agenda pembangunan modal insan negara yang berteraskan kemahiran, inovasi dan teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















