BERITA SEMASA

BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan, tak mahu dipatuk ular 2 kali

PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) hingga tamat penggal.

Beliau berkata, ketetapan itu merupakan pendirian UMNO dan BN ketika memasuki kerjasama dengan PH sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pada Disember 2022.

“Saya mempunyai pendirian daripada awal, parti juga mempunyai pendirian daripada awal bahawa kita tidak akan pernah melakukan ‘tebuk atap’ kepada kerajaan yang ada sekarang ini.

“Dan kita akan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat penggal. Bila pun penggalnya yang akan diumumkan nanti ia adalah penggal yang secukupnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 diadakan,” katanya memetik laporan BH online hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, ia antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik semalam iaitu cadangan daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu lalu untuk parti itu menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan dan menjadi pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, tiada keputusan muktamad dibuat dalam mesyuarat berkenaan berhubung saranan Pemuda UMNO itu.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, semua yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik itu membabitkan keputusan besar yang akan dibuat oleh parti, justeru ia memerlukan perincian sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Katanya, beliau mendengar pandangan daripada wakil Perhubungan Negeri dan ia perlu diteliti.

“Kita membincangkan soal untuk kerjasama dijalin semula antara UMNO – BN dan pihak pembangkang terutama kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Sebagaimana diketahui mereka juga menyarankan kita mencari waktu yang sesuai untuk meninggalkan kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mahu pisang berbuah dua kali dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang ketika ini.

Tanpa menamakan parti politik tertentu, Zahid berkata, UMNO tidak mahu dikhianati oleh pihak sama berulang kembali.

“Kita tidak mahu bernostalgia menggunakan apa-apa nama yang pernah dicadangkan dahulu dan kita belum memutamadkannya lagi.

“Itu sebabnya perincian penting kerana kita tidak mahu dipatuk oleh ular yang sama bagi kali yang kedua di tempat yang sama,” katanya diminta mengulas sama ada UMNO akan menghidupkan semula kerjasama dengan PAS di bawah payung Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button