Tiada pelajar B40 dinafikan hak ke universiti kerana masalah kewangan – Dr Zambry
PUTRAJAYA – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan dakwaan bahawa pelajar daripada keluarga B40 tidak dapat mendaftar ke universiti awam kerana kekangan kewangan adalah tidak benar.
Beliau berkata, kerajaan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sentiasa komited memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya disebabkan masalah kewangan.
“Semua pelajar yang menerima tawaran boleh mendaftar ke universiti. Tidak pernah ada pelajar dihalang mendaftar jika tiada wang,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Kenyataan itu dibuat susulan penjelasan Naib Canselor (NC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff yang juga Pengerusi Jawatankuasa NC IPTA berhubung dakwaan kononnya kerajaan tidak prihatin terhadap nasib pelajar B40.
Menurut beliau, kerajaan memahami cabaran yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah dan pelbagai mekanisme bantuan telah disediakan bagi memastikan akses kepada pendidikan tinggi terus terbuka kepada semua lapisan masyarakat.

Antara bantuan yang ditawarkan termasuk bantuan awal pendaftaran daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kos pendaftaran yang tidak melebihi RM1,500, pembiayaan pendidikan dengan kadar bayaran balik fleksibel serta pelbagai biasiswa dan pinjaman daripada kerajaan, agensi berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Selain itu, terdapat juga program Sulong yang menyediakan tajaan yuran pengajian sepenuhnya kepada anak sulung daripada keluarga B40 yang layak, bantuan kewangan khas kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah serta bantuan sara hidup bagi menampung keperluan harian sepanjang pengajian.
Bagi membantu mengurangkan beban kos kehidupan di kampus, pelajar turut disediakan kemudahan penginapan di kolej kediaman dengan kadar sewa bersubsidi, program dapur siswa, tabung kebajikan pelajar serta bantuan kecemasan bagi mereka yang berdepan kesukaran kewangan secara mendadak.
KPT turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan semasa proses pendaftaran termasuk penangguhan bayaran pendaftaran, pelan pembayaran secara ansuran, bantuan pengangkutan dan logistik serta kaunter bantuan kewangan dan kebajikan pelajar di universiti.
Sehubungan itu, Dr Zambry menggesa ibu bapa dan pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke IPT agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang mengelirukan.
“Jangan risau mak abah. Kami juga pernah susah sepertimana kalian. Inilah peluang untuk mengubah nasib keluarga.
“Jangan dihirau bingit di luar sana. Semuanya auta belaka. Mai ajelah daftar ya, nanti kami bantu sehabis baik. Ini amanah dan jariah kita. Mudah-mudahan menjadi asbab membawa ke syurga,” katanya.
Beliau berkata, pihak universiti, KPT dan agensi berkaitan sentiasa bersedia membantu pelajar yang menghadapi kesukaran agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa halangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








