Suspek baling botol berapi di Taman Desa Jaya diburu polis
GOMBAK – Polis sedang mengesan seorang lelaki berusia dalam lingkungan usia 30 tahun yang terlibat membaling botol berapi ke sebuah rumah di Taman Desa Jaya, di sini, pada 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, suspek yang dipercayai bekerja dengan syarikat pinjaman wang (Ahlong) yang masih belum dikenal pasti itu kini dalam buruan polis.
Menurut Noor Ariffin, polis menerima aduan daripada seorang pengadu yang mendakwa kejadian mungkin berpunca daripada pinjaman yang dilakukan oleh adiknya yang sudah meninggal dunia pada Disember lalu.
Katanya, kejadian yang berlaku pada pukul 4.55 petang itu menunjukkan seorang lelaki menampal sekeping notis amaran sebelum melontar botol berapi berisi bahan bakar.
“Video itu memaparkan seorang individu menampal kertas disyaki ugutan dan membaling satu botol plastik berapi ke arah halaman rumah.
“Individu itu masih belum dikenal pasti dan pihak polis masih mengesan individu terbabit,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Noor Ariffin berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Faris Nur Shuhaini di talian 017-3166051 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







