Sistem Alamat Nasional perluas impak perkhidmatan awam, lonjak kecekapan kerajaan UK
KUALA LUMPUR – Pengalaman United Kingdom dalam melaksanakan sistem alamat nasional membuktikan pemusatan data alamat berjaya meningkatkan kecekapan sektor awam dan memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pengarah Eksekutif Perundingan GeoPlace LLP United Kingdom, Simon Barlow berkata, usaha mewujudkan sistem alamat tunggal yang tepat dan standard telah mengambil masa hampir tiga dekad, namun kini menjadi tunjang kepada lebih 150 perkhidmatan kerajaan berasaskan lokasi dan alamat sahih.
“Sistem alamat itu membolehkan agensi kerajaan membuat keputusan yang lebih baik berdasarkan data yang tepat termasuk dalam urusan percukaian, daftar pemilih, perancangan pengangkutan dan penyampaian perkhidmatan sosial.
“Kami mencipta pengecam unik seperti Nombor Rujukan Harta (UKRN) dan Nombor Rujukan Jalan (USRN) bagi memastikan keseragaman data merentas sistem dan agensi.
“Ini membolehkan pengesahan automatik alamat tanpa keperluan semakan manual,” katanya ketika menyampaikan sesi Best Practice & Lesson Learn from Address System Implementation in the United Kingdom sempena Persidangan Alamat Nasional 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan sistem itu turut dipacu oleh kerjasama kukuh antara kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan menerusi kontrak sah yang mewajibkan kemas kini dan pemeliharaan kualiti data secara berterusan.
Tambah beliau, GeoPlace merupakan sebuah syarikat usaha sama antara agensi pemetaan kebangsaan dan persatuan kerajaan tempatan UK yang bertindak sebagai penyelaras pusat untuk mengurus, memadan serta menerbitkan data alamat yang digunakan secara meluas oleh sektor awam dan swasta.
“Model ini membolehkan sektor swasta seperti syarikat insurans, bank dan platform teknologi seperti Apple dan Google menggunakan data kami secara percuma melalui rangkaian rakan niaga rasmi tanpa kerajaan perlu melabur dalam pemasaran.
“Hasil pendapatan daripada penggunaan data itu disalurkan kembali bagi menyokong inovasi dan pelaburan dalam kawasan sukar dicapai,” katanya.
Persidangan dua hari anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan platform strategik dalam memperkasa pembangunan serta standardisasi Sistem Alamat Nasional (NAS) dengan objektif mewujudkan satu pangkalan data alamat tunggal, tepat dan diiktiraf sebagai sumber rujukan rasmi negara untuk kegunaan sektor awam, swasta dan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








