BERITA SEMASA

KSN tegur amalan ‘Christmas Shopping’ dalam perkhidmatan awam

PUTRAJAYA – Amalan pembelian tergesa-gesa pada hujung tahun atau ‘Christmas Shopping’ dalam perkhidmatan awam perlu dielak sama sekali, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Shamsul Azri berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pembaziran sumber serta memastikan tatakelola yang baik ke arah mencapai nilai faedah optimum melalui kecekapan perbelanjaan.

“Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah membangkitkan isu-isu pengurusan kewangan kerajaan, namun isu penyelewengan dan pembaziran sumber awam masih berlaku.

“Jika dibiarkan isu ini menjadi semakin kompleks dan tiada penyelesaian yang tuntas, ia akan menjejaskan kredibiliti dan persepsi masyarakat terhadap penjawat awam secara umumnya.

“Penjawat awam perlu memastikan ketelusan, integriti kebertanggungjawaban menjadi teras kepada prinsip-prinsip dalam tatakelola dan etika,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Perakaunan Pengurusan 2025 bertemakan ‘Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan’ anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia di sini, hari ini.

Menurut KSN, pihak kerajaan memberikan tumpuan untuk mengoptimumkan perbelanjaan awam dengan menyemak semula dasar perbelanjaan dan pengagihan sumber yang terhad bagi memastikan kecekapan, keberkesanan dan nilai untuk wang.

Katanya, penerusan pelaksanaan dasar ke arah subsidi bersasar membolehkan kerajaan mengurangkan pembaziran dan ketirisan, serta menyediakan ruang fiskal untuk menambah baik bantuan kepada golongan rentan.

“Kerajaan juga telah mengambil langkah positif ke hadapan dengan melaksanakan pindaan Akta Audit 1957, yang akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.

“Usaha itu juga memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button