BERITA SEMASADALAM NEGERI

Sindir takbir raya PMX: Satu penghinaan terhadap syiar Islam

TINDAKAN segelintir individu menyindir takbir raya yang dialunkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ketika sambutan Aidilfitri dalam sebuah video di TikTok baru-baru ini satu tindakan yang melampaui batas agama.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan menyelar tindakan tersebut menerusi satu kenyataan di Facebook beliau.

Takbir Raya Anwar
Gambar dari Facebook Dr. Zulkifli Hasan menunjukkan Anwar melaungkan takbir raya.

Kataya, perbuatan itu amat tidak wajar kerana mempermainkan sensitiviti agama.

“Takbir Hari Raya adalah syiar Islam yang agung dan ia menjadi manifestasi kegembiraan umat Islam menyambut hari kemenangan selepas menunaikan ibadah Ramadan.

“Ia seharusnya dihormati dan tidak dijadikan bahan sindiran atau jenaka,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Dr. Muhammad Sufi Ibrahim Al-Hafiz menyifatkan tindakan menyindir takbir raya itu sebagai satu penghinaan terhadap syiar Islam dan mencerminkan kelemahan adab beragama dalam kalangan masyarakat hari ini.

“Takbir Aidilfitri dan Aidiladha adalah syiar Islam yang dimuliakan. Ia bukan hanya sekadar laungan, tetapi satu bentuk ibadah yang mengagungkan Allah SWT.

“Menjadikannya bahan sindiran sama ada kerana benci pada individu atau sebab lain tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas tidak beradab.

Dr Muhammad Sufi menegaskan adab dalam Islam sangat luas dan merangkumi setiap aspek kehidupan termasuklah bagaimana kita menegur pemimpim.

“Apatah lagi yang melakukan perkara itu adalah umat Islam sendiri. Ia sangat menyedihkan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Beliau menambah, perbezaan pandangan politik tidak seharusnya sampai ke tahap mempermainkan perkara yang berkait dengan agama.

“Adab dalam Islam sangat luas dan merangkumi setiap aspek kehidupan. Ia termasuklah bagaimana kita menegur pemimpin dan menjaga maruah ibadah.

“Jangan kerana kebencian peribadi, kita sanggup merendahkan nilai-nilai agama,” tegasnya.

Dr. Muhammad Sufi turut membawakan firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat, ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, kerana boleh jadi mereka yang diperolokkan lebih baik daripada mereka yang mengolok-olok.”

Menurut beliau, ayat ini memberi peringatan jelas agar tidak merendah-rendahkan seseorang, apatah lagi dalam perkara yang melibatkan syiar agama.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang kanak-kanak mengambil peluang merakam gambar selfie bersama Perdana Menteri pada majlis sempena Ramadan baru-baru ini.

“Hadis ini hakikatnya menuntut umat Islam agar menjaga pertuturan dan tingkah laku, termasuk di media sosial agar tidak menyentuh hal-hal yang boleh mencetuskan penghinaan terhadap agama.

“Selain itu, cendekiawan Islam juga turut menitipkan pesan buat ummah agar berhati-hati dengan lidah.

“Sepertimana pesan Hujjatul Islam, Imam Ghazali RA, lidah adalah satu nikmat yang besar, tetapi ia juga boleh menjadi bencana yang besar sekiranya tidak dijaga,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Sufi mengajak masyarakat untuk kembali kepada asas adab dan ilmu dalam menilai sesuatu isu.

“Perbezaan pandangan itu perkara biasa, tetapi jangan sampai kita berlebih-lebihan hingga mempermainkan ibadah dan agama.

“Ia bukan sahaja mencalarkan adab, malah boleh menjatuhkan martabat kita sendiri sebagai umat Islam,” tegasnya menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button