Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 tamat, pemimpin serantau berlepas pulang
SEPANG – Tirai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dilabuhkan semalam selepas tiga hari berlangsung di Kuala Lumpur dengan para pemimpin serta delegasi negara serantau mula berlepas pulang ke negara masing-masing malam tadi.
Antara pemimpin yang berangkat pulang ialah Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh serta Presiden Filipina, Ferdinand R Marcos Jr, memetik laporan Bernama.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menerima upacara pelepasan rasmi yang diadakan penuh istiadat dengan hamparan permaidani merah serta kawalan kehormatan oleh 28 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Pesawat khas yang membawa Hun Manet berlepas pada pukul 5.35 petang dari Kompleks Bunga Raya KLIA dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir mengucapkan selamat jalan.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengiringi Lawrence yang berlepas menggunakan pesawat komersial dari Terminal 1 KLIA pada pukul 8.30 malam.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh turut berangkat pulang pada waktu yang sama dengan pesawat khas, disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Pesawat khas membawa Ferdinand dan delegasi Filipina pula berlepas dari Kompleks Bunga Raya KLIA pada pukul 11 malam dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi mengucapkan selamat jalan.
Sementara itu, Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta, meninggalkan negara ini pada pukul 1.30 pagi.
Sidang kemuncak kali ini mencatat beberapa pencapaian penting, termasuk penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja.
Malaysia yang menjadi Pengerusi ASEAN bagi tahun ini menyerahkan tanggungjawab kepengerusian kepada Filipina bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment