LUAR NEGARA

RSF didakwa bunuh lebih 300 wanita di bandar El-Fasher

KHARTOUM – Kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) didakwa membunuh kira-kira 330 wanita dalam tempoh dua hari pertama selepas memasuki bandar El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara di barat Sudan.

Laporan agensi Anadolu yang memetik kenyataan Menteri Negara bagi Kebajikan Sosial Sudan, Salma Ishaq sebagai berkata, wanita-wanita berkenaan turut menjadi mangsa serangan seksual, keganasan dan penyeksaan.

“Mana-mana individu yang meninggalkan El-Fasher menuju ke Tawila (di Darfur Utara) berdepan risiko, kerana jalan El-Fasher-Tawila kini menjadi jalan maut,” katanya.

Tambah beliau, masih terdapat keluarga di El-Fasher yang menjadi sasaran penyeksaan, penghinaan dan keganasan seksual.

Menteri itu menegaskan, “apa yang berlaku di El-Fasher adalah tindakan pembersihan etnik yang sistematik, satu jenayah besar yang membabitkan semua pihak melalui sikap berdiam diri mereka.”

Pada 26 Oktober lalu, RSF merampas kawalan ke atas El-Fasher dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menurut pertubuhan tempatan dan antarabangsa, sambil memberi amaran bahawa serangan itu boleh mengukuhkan pembahagian wilayah Sudan secara geografi.

Rabu lepas, pemimpin RSF, Mohamed Hamdan Dagalo (Hemedti) mengakui bahawa ‘pelanggaran’ dilakukan oleh pasukannya di El-Fasher, sambil mendakwa jawatankuasa siasatan telah ditubuhkan.

Tentera Sudan dan RSF telah terbabit dalam peperangan sejak 15 April 2023.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button