Riuh X ASEAN 2025 meriahkan Kuala Lumpur Oktober ini
KUALA LUMPUR – Acara kreatif ikonik negara, Riuh, bakal kembali dengan skala lebih besar menerusi Riuh X ASEAN 2025 yang menghimpunkan elemen seni, budaya, muzik dan keusahawanan dari seluruh rantau Asean.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penganjuran kali ini melibatkan kolaborasi pelbagai pihak dari Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia.
“Bersempena kepengerusian ASEAN pada tahun ini, Riuh akan dilaksanakan dalam skala serantau dengan penglibatan komuniti kreatif dari lima negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, antara acara utama adalah Riuh X ASEAN Marketplace yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober di Kuala Lumpur.
Marketplace ini bakal menampilkan lebih 200 jenama runcit, 100 jenama makanan dan minuman, 40 persembahan artis, 30 gerai interaktif, 20 instalasi kreatif selain platform jaringan dan kerjasama rentas negara bagi pemain industri kreatif.
Sementara itu, Riuh ASEAN Music Conference atau FrequenSEA akan berlangsung pada 21 dan 22 Oktober di Kuala Lumpur bermula jam 12.30 tengah hari hingga 8.30 malam.
“Persidangan ini menghimpunkan pemuzik, penerbit dan pencipta lagu dari seluruh ASEAN untuk membincangkan hala tuju industri muzik serantau dan percuma untuk semua,” katanya lagi.
Selain itu, siri program sokongan FrequenSEA akan diadakan selama 10 hari di lokasi strategik sekitar Lembah Klang, termasuk Rumah Suara, Festival Panggung Gelap, Celebration Rhythm & Poetry, Suara Belancar, Identiti Malaysia, Lit Ponek dan Talk Music.
Fahmi berkata, Riuh Merdeka 2025 turut dianjurkan pada 30 hingga 31 Ogos di ruangan parkir, Monumen Alam Baru, dengan konsep 30 jam tanpa henti.
“Acara ini meraikan perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni, muzik dan komuniti.
“Artis terkenal tanah air seperti Yuna, Misha Omar, Pop Shuvit, Alif Satar, Ayda Jebat, Pesawat dan ramai lagi akan membuat persembahan,” katanya lagi.
Pengunjung juga boleh menikmati pasar kreatif, pameran kraf, pemasangan interaktif, aktiviti keluarga dan lebih 80 gerai makanan serta minuman. Semua acara yang diumumkan adalah percuma untuk orang ramai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















