BERITA SEMASA

Gabungan persatuan perfileman selar kenyataan angkuh Awesome TV

Gesa stesen penyiaran berkenaan mohon maaf kepada Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) melahirkan sikap kecewa dengan kenyataan syarikat stesen penyiaran, Awesome TV yang meremehkan teguran dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung isu pembayaran terhadap penggiat seni.

Presidennya, Pansha berkata, kenyataan daripada Awesome TV tersebut seolah-olah konotasi Menteri Komunikasi dan Digital langsung tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan permasalahan industri danmemperjuangkan nasib penggiat seni yang tertindas.

“Pelbagai isu dan konflik berkaitan Awesome TV telah dilaporkan oleh media sebelum ini. Sehingga kini masih belum dapat diselesaikan terutamanya berkaitan pembayaran kepada penerbit/penggiat seni dan perkara ini amat memalukan.

“PFM memandang serius terhadap pemasalahan ini dan kami telah difahamkan bahawa ramai dalam kalangan penerbit dan penggiat seni kecewa dengan keputusan Awesome TV. Walaupun telah acap kali membuat rundingan dengan Awesome TV, namun penyelesaiannya tetap gagal dan hambar.

“Mengheret beberapa penerbit dan penggiat seni ke mahkamah untuk menyelesaikan isu dalaman penyiar, bukanlah satu solusi yang bijak, baik dan jujur. Masalah ini harus diselesaikan secara tuntas oleh Awesome TV tanpa melibatkan pihak lain termasuk menggunakan saluran media,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) campur tangan untuk membantu menyelesaikan permasalahan industri

“Ramai dalam kalangan penerbit mengambil sumber kewangan dari MyCreative Ventures Sdn Bhd (anak syarikat Kementerian Kewangan) serta institusi-institusi kewangan yang lain untuk membiayai kandungan penerbitan program Awesome TV.

“Ekoran kelewatan pembayaran daripada Awesome TV menyebabkan permasalahan untuk melunaskan pembayaran kepada institusi kewangan serta terpaksa menanggung kadar faedah kelewatan dan tunggakan pembayaran. Dilema kelewatan pembayaran ini, menjadi stigma kepada penerbit-penerbit yang tidak mempunyai modal besar serta mengganggu dan menggagalkan inspirasi dan hasrat kerajaan dalam melestari eko-sistem yang sedia ada,” katanya.

Turut menyuarakan pandangan sama ialah Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang menggesa pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi.

“Awesome TV harus mengambil maklum bahawa stesen TV bawah naungan SKMM Akta 588 jelas menyatakan bahawa kuasa penentu bicara Menteri KKD. Justeru FDAM berpandangan bahawa kenyataan Awesome TV dalam media tersebut amat mengecewakan.

“Kami menyarankan agar pihak Awesome TV memohon maaf secara terbuka kepada Fahmi Fadzil atas kekasaran kenyataan dari Awesome TV. Kami juga khuatiri perkara ini dieksplotasi oleh pihak tertentu untuk dijadikan agenda dan polemik politik,” kata Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London.

Dalam pada itu, Persatuan Seniman Malaysia menyarakan agar Awesome TV serta vendor (lantikan Awesome TV) dapat berjumpa secara terus dengan Menteri KKD untuk meleraikan permasalahan dalaman meraka, khususnya aspek penyiar atau penerbitan program Awesome TV secara beradab.

Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, masalah dalaman Awesome TV berkaitan pembayaran kepada penerbit dan penggiat seni secara langsung memberi kesan kepada pelakon-pelakon tempatan.

Sementara itu, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) juga mengakui pernah menerima aduan dari pekerja-pekerja filem belakang tabir di atas kelewatan pembayaran dari penerbit yang berurusan dengan pihak Awesome TV.

“Apabila penerbit terkesan dengan kelewatan pembayaran yang tidak mematuhi perjanjian awal di antara penerbit dan penyiar, secara tidak langsung ianya membebankan pekerja di belakang tabir yang telah menyelesaikan tugas.

“PROFIMA menyokong penuh campur tangan Menteri KKD terhadap permasalahan industri ini bagi membantu menyelesaikan masalah luar biasa Awesome TV yang amat memberi kesan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya penerbit. Sebagai penyiar yang telah dilesenkan oleh kerajaan, Awesome TV seharusnya mempunyai sikap yang lebih professional, bertanggungjawab dan menerima baik teguran daripada,” kata Presidennya, Khalil Saleh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button