BERITA SEMASA

Hanya Ahli Parlimen, ADUN lelaki terima emel ugutan – Fahmi

GEORGE TOWN – Emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan menuntut bayaran sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM470,000) hanya diterima oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lelaki.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat semalam, seramai sembilan wakil rakyat kerajaan menerima emel tersebut.

“Setakat ini hanya Ahli Parlimen dan ADUN lelaki dilaporkan menerima emel ugutan yang dipercayai bersifat ‘phishing’. Belum ada maklumat yang menunjukkan Ahli Parlimen wanita menerima emel berkenaan,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Tabung Kasih@HAWANA Santuni Pengamal Media Pulau Pinang di Ayer Itam, hari ini.

Sehubungan itu, kata Fahmi, satu notis peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat pagi tadi yang mengingatkan semua wakil rakyat supaya berhati-hati apabila menerima sebarang emel.

“Saya telah membaca notis yang dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat pagi tadi. Notis itu merupakan peringatan yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada Ahli Parlimen supaya berhati-hati apabila menerima sebarang emel, terutamanya yang meminta mereka mengklik pautan atau mengimbas kod QR.

“Tidak mustahil terdapat elemen perisian hasad atau ‘malware’ yang cuba dimasukkan ke dalam peranti. Sebab itu kita ingatkan Ahli Parlimen dan ADUN untuk lebih berhati-hati.

“Emel ugutan tersebut juga mungkin bersifat ‘phishing’, iaitu apabila penerima mengklik pautan atau berhubung dengan pihak scammer, peranti mereka berisiko digodam. Ini peringatan yang telah disampaikan oleh MCMC melalui Setiausaha Dewan Rakyat,” jelasnya.

Fahmi berkata, emel itu dipercayai datang daripada sumber sama namun siasatan masih dijalankan.

“Siasatan lanjut boleh dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk jumlah laporan yang diterima serta sama ada pihak Google telah dihubungi untuk membantu siasatan.

“Tidak mustahil modus operandinya menggunakan maklumat terbuka di laman web rasmi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri, seperti alamat emel dan gambar profil rasmi,” katanya lagi.

Beliau dalam masa yang sama menegaskan, langkah keselamatan itu bukan hanya terpakai kepada Ahli Parlimen malah semua pengguna internet.

“Kita digalakkan menukar kata laluan sekurang-kurangnya setahun sekali serta mengaktifkan ‘two-step authentication’.

“Jika ada cubaan log masuk daripada peranti baharu, notifikasi akan dihantar kepada pemilik akaun. Ini langkah keselamatan tambahan untuk mengelak percubaan godaman,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mesej, emel atau hantaran media sosial yang mencurigakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button