RUU Pembaharuan Semula Bandar akan ditambah baik sebelum dibentang semula di Parlimen
PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menarik semula Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen kelak.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen dan rakan-rakan dari UMNO.
“Jemaah Menteri secara dasar bersetuju bahawa RUU PSB akan ditarik balik untuk ditambah baik melalui beberapa pindaan dan tambahan yang akan diteliti, dibentangkan, dibincang dan diputuskan pada satu tempoh yang akan dimaklumkan.
“Seterusnya ia (RUU PSB) akan dibentangkan semula dalam bentuk yang baharu di Parlimen,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, perkara itu mungkin akan mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.
“Proses untuk menghasilkan draf undang-undang yang baharu itu, kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Tetapi sebelum proses itu bermula, Jemaah Menteri akan diberikan sedikit taklimat. Sebelum ia ke AGC, draf yang baharu pertama mesti dibawa ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan.
“Jadi kita jangkakan ia akan memakan sedikit masa,” jelasnya.
RUU PSB sebelum ini dicadangkan sebagai rangka perundangan baharu bagi membolehkan pembangunan semula kawasan bandar lama, usang dan tidak selamat khususnya melibatkan perumahan strata, flat kos rendah serta kawasan berisiko tinggi dari aspek keselamatan dan kebersihan.
Antara matlamat utama RUU ini ialah mempercepatkan proses pembangunan semula bandar, menyelaras urusan pemilikan tanah dan bangunan berstrata serta menyediakan mekanisme yang lebih jelas untuk pampasan, penempatan semula dan perlindungan hak pemilik asal.
Namun, cadangan RUU tersebut mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak termasuk isu hak pemilik hartanah, risiko peminggiran komuniti asal, keadilan pampasan serta kebimbangan kemungkinan berlakunya pengambilan hartanah secara paksa.
Kritikan itu mendorong kerajaan untuk menilai semula kandungan RUU berkenaan sebelum ia dibentangkan semula dalam versi yang diperbaharui.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








