Ujian kualiti perkhidmatan selular capai objektif, tunjuk peningkatan
PUTRAJAYA – Ujian kualiti perkhidmatan selular atau panggilan suara yang dijalankan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada hari ini dilihat telah mencapai objektifnya dalam menilai isu panggilan terputus.
MCMC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, ujian tersebut bertujuan untuk menguji kualiti liputan yang disediakan oleh kesemua penyedia rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, TM Tech, U Mobile dan YTL.
Menurut MCMC, dapatan daripada ujian pada hari ini menunjukkan kualiti perkhidmatan panggilan suara berada pada tahap yang sangat baik dengan tiada panggilan terputus yang direkodkan oleh kesemua penyedia perkhidmatan.
Ujian yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil itu dilakukan sepanjang perjalanan dari bangunan Parlimen yang terletak di ibu negara, sehingga ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Dalam pada itu, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan memandang serius isu panggilan terputus ini dan mahu ianya ditangani segera demi kepentingan rakyat.
Pada 14 Disember 2023, MCMC telah mengadakan pertemuan dengan penyedia rangkaian mudah alih dan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi mencari penyelesaian terbaik dalam mengatasi permasalahan ini.
Susulan daripada pertemuan itu, satu bengkel telah dianjurkan di mana beberapa inisiatif telah dikenalpasti dan dipersetujui.
Selain daripada pihak pengendali rangkaian mudah alih 4G mengoptimumkan rangkaian mereka, DNB juga telah mengaktifkan fungsi Call Reestablishment (CRE) untuk liputan LTE700 dalam rangkaian 5G bermula dari 21 Disember sehingga 29 Disember 2023 untuk kesemua tapak 5G di seluruh negara.
Hasil daripada usaha ini, kadar penurunan panggilan terputus untuk setiap rangkaian mudah alih adalah dalam lingkungan 10 hingga 74 peratus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













