BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

1,500 pelajar sertai ‘human graphics’ Hari Kebangsaan 2026

PUTRAJAYA – Seramai 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor menyertai latihan Human Graphics sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sesi latihan di tapak itu adalah yang pertama membabitkan keseluruhan peserta yang akan membuat persembahan pada sambutan 31 Ogos ini.

Menurut Fahmi, beliau melihat semangat peserta yang membara walaupun mereka baru pertama kali berada di lokasi berkenaan.

“Kita akan teliti beberapa perkara aspek untuk keselesaan mereka dan juga untuk memastikan dari segi persembahan mereka akan cukup bersedia insya-Allah menjelang hari Isnin minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan sumbangan penajaan oleh rakan strategik kepada peserta Human Graphics sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, latihan penuh akan diadakan pada Jumaat dan Sabtu mengikut jadual seperti yang akan dilaksanakan pada sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos.

Beliau berkata, peserta akan diberikan masa rehat pada Ahad, 30 Ogos.

“Jadi kepada orang ramai kita jemput untuk datang pada hari Jumaat 28 Ogos dan juga hari Sabtu 29 Ogos untuk saksikan raptai penuh,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button