Program Quranic MADANI: Jalan Bukit Bintang ditutup malam ini
KUALA LUMPUR – Jalan Bukit Bintang akan ditutup secara berperingkat bermula tengah malam ini sempena penganjuran program Quranic Madani ‘Night Reset: Bersatu Dalam Saf @ Bukit Bintang’.
Program yang dijadual berlangsung dari pukul 8.30 malam hingga 11 malam itu akan diadakan di Jalan Bukit Bintang berhadapan Pavilion Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asistan Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, penutupan Jalan Bukit Bintang akan bermula seawal pukul 12 tengah malam ini sehingga pukul 5 pagi, esok.
Menurutnya, ia bagi memastikan kelancaran perjalanan program selain menjamin keselamatan peserta dan pengguna jalan raya.
“Penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa sepanjang program berlangsung.
“Jalan akan dibuka semula secara berperingkat selepas tamat program tertakluk kepada keadaan trafik dan situasi semasa di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan laluan terlibat sepanjang tempoh program berlangsung selain merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif yang bersesuaian.
“Pengguna jalan raya juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, Monorel atau perkhidmatan e-hailing bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar,” ujarnya.

Tambah Mohd Zamzuri, anggota polis trafik akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik bagi membantu melancarkan aliran trafik serta memberi panduan kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut meminta orang ramai mematuhi arahan anggota polis trafik yang bertugas selain mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan dilaksanakan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkaitan program dan laluan terlibat boleh diperoleh dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Program Quranic MADANI dijangka bakal dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta para asatizah termasuk PU Riz atau Ustaz Haris Ismail iaitu suami kepada selebriti Neelofa.
Antara acara yang akan dijalankan ialah solat Isyak dan solat hajat berjemaah, bacaan Al-Quran, sesi tazkirah dan pelancaran program Quranic MADANI yang akan diperluaskan di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















