PRN Sabah: Hampir 400 calon hilang deposit termasuk Presiden PIS, bekas menteri
KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan sahaja menyaksikan persaingan sengit di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malah turut merekodkan jumlah calon hilang deposit yang tinggi, melibatkan hampir 400 calon daripada pelbagai parti.
Presiden Parti Impian Sabah (PIS), Michel Alok @ Ilok antara 389 calon yang kehilangan deposit selepas gagal meraih sekurang-kurangnya satu per lapan daripada jumlah undi yang dikira, memetik laporan Bernama.
Bertanding di DUN Telupid, Michel hanya memperoleh 291 undi, jauh ketinggalan di belakang penyandang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Jonnybone Kurum yang meraih 3,868 undi dalam saingan sembilan penjuru.
Di DUN Sebatik, Presiden Parti Rumpun Sabah (Rumpun), Datuk Dr Ismail Idris turut tidak terlepas daripada nasib sama apabila hanya menerima 41 undi dalam pertandingan 10 penjuru.
Beliau tewas kepada calon Warisan, Manahing Tinggilani @ Tanggilani yang memperoleh 2,795 undi.
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Segama juga hilang deposit selepas sekadar meraih 1,644 undi.
Kerusi itu dimenangi calon Warisan, Muhammad Abdul Karim dengan 7,325 undi.
Dari segi pecahan parti, PIS mencatat jumlah calon hilang deposit tertinggi dengan 72 orang, diikuti calon Bebas (60).
STAR Sabah dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing merekodkan 36 calon kehilangan deposit.
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mencatat 30 calon, diikuti Warisan (23), UPKO (15), Barisan Nasional (12), serta Pakatan Harapan (PH) dengan dua calon yang turut hilang deposit.
DUN Tulid pula menjadi kerusi paling ramai calon kecundang dalam mendapatkan undi minima, apabila 11 daripada 14 calon gagal melepasi ambang satu per lapan undi.
Secara keseluruhan, PRN Sabah ke-17 menyaksikan hampir 600 calon bertanding dalam merebut 73 kerusi DUN, menjadikannya antara pilihan raya negeri paling kompetitif dalam sejarah Sabah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








