POLITIK

PRN Johor: Jalex Lee umum 5 tekad utama, fokus ekonomi dan kesejahteraan rakyat Pemanis

SEGAMAT – Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Jalex Lee, hari ini mengumumkan lima tekad utama dalam usaha membawa perubahan serta pembangunan yang lebih dinamik buat seluruh warga kawasan tersebut.

Jalex menegaskan, komitmennya untuk memastikan Pemanis melangkah lebih maju dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara fokus utama yang digariskan oleh beliau adalah memperkasa ekonomi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Tumpuan saya adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan ke kawasan ini, kerana di Pemanis ni kita boleh nampak di mana anak muda kita tidak ada peluang pekerjaan di sini.

“Oleh itu saya rasa menjadi jurujual untuk Pemanis untuk menarik pelabur, ia akan memberi manfaat susulan kepada industri-industri untuk melabur di sini.

“Dan ini dari segi manfaat susulan, ia akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda. Kerana saya rasa anak-anak muda kita pun nak bekerja di Segamat dan bukan mencari rezeki di Kuala Lumpur atau Singapura,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang Media Calon Harapan PEMANIS.

Selain aspek ekonomi, beliau turut meletakkan akses kesihatan sebagai keutamaan dengan berjanji untuk memperjuangkan perkhidmatan yang lebih cekap, mudah diakses, dan menyeluruh bagi penduduk setempat.

“Kedua, saya memberi fokus kepada aspek kesihatan, kerana saya pun dapat bertemu dengan banyak pengundi dan juga secara am, Pemanis mempunyai populasi warga emas yang tinggi, justeru memerlukan perhatian khusus terhadap aspek kesihatan.

“Oleh itu fasiliti kemudahan kesihatan perlu ditambah baik, terutamanya ambulans.

“Kerana kita pun banyak menerima aduan bahawa ambulans ni bila kita panggil, dia lambat sampai. So ini adalah satu yang saya nak perjuangkan,” katanya.

Dalam usaha merancakkan ekonomi menerusi sektor pelancongan, Jalex merancang untuk memajukan agropelancongan di Pemanis dengan menonjolkan keunikan tempatan seperti durian dan ikan baung.

“Tekad ketiga adalah agropelancongan, kerana di Segamat sini, kita pun tahu, Segamat dan juga Pemanislah, dari segi keunikan ini, kita boleh mendapatkan banyak-banyak produk-produk tempatan yang agak terkenal di Malaysia.

“Pertama iaitu durian dan juga ikan sungai seperti ikan baung dan saya rasa ini boleh guna ini sebagai satu platform lah yang sedia ada untuk memajukan dan memajukan industri pelancongan yang sedia ada dengan lebih baik untuk eksportlah produk-produk kita ke tempat-tempat lain atau antarabangsa,” katanya.

Bagi memastikan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dapat dilahirkan, beliau juga berhasrat memperluaskan peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memfokuskan kepada bidang pertanian moden.

“Keempat dari segi TVET, saya akan lebih tumpu kepada TVET pertanian moden. Kerana Segamat ini dan Pemanis, dia memang dari dulu dia maju dengan industri pertanian.

“Dan bagaimana kita nak transisi atau transform pertanian ini supaya anak-anak muda kita boleh tinggal di sini dan teruskan industri pertanian ini.

“Dan saya rasa TVET pertanian moden ini agak penting kerana ia akan menarik lebih perhatian dan juga minat orang muda supaya mereka dapatlah menjanakan pendapatan yang cukup untuk pertanian,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi perhatian khusus terhadap keperluan asas penduduk dengan bertekad untuk memperjuangkan penaiktarafan jalan raya, sistem saliran, dan tebatan banjir.

Jalex juga komited untuk memastikan kemudahan asas serta liputan internet dan rangkaian 5G ditambah baik bagi menyokong kelancaran kehidupan harian rakyat serta pertumbuhan ekonomi kawasan Pemanis secara keseluruhannya.

Dengan membawa slogan Pemanis Maju, Rakyat Sejahtera serta Johor Ke Depan, beliau mengharapkan sokongan padu daripada rakyat bagi merealisasikan visi pembangunan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button