FELDA, PERKESO perkukuh jaringan perlindungan sosial
KUALA LUMPUR – Jaringan perlindungan sosial bagi seluruh ekosistem Kumpulan FELDA diperkasa menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua agensi memaklumkan kerjasama itu bertujuan meningkatkan kecekapan operasi serta memperluas perlindungan sosial, program pencegahan, perkhidmatan rehabilitasi dan peluang pekerjaan kepada Komuniti FELDA.
Menurut FELDA, inisiatif itu merangkumi perlindungan keselamatan sosial, keselamatan dan kesihatan, rehabilitasi, sokongan kembali bekerja serta pembangunan kerjaya bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi baharu.
FELDA berkata, kerjasama itu meliputi peneroka, suri rumah, generasi baharu, petugas, pekerja asing, majikan dan perusahaan menerusi Memorandum Kerjasama (MoU) yang dimeterai kedua-dua agensi
“Kerjasama itu diharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan sosioekonomi Komuniti FELDA melalui jaringan perlindungan serta peluang pembangunan yang lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, majlis pemeteraian itu menyaksikan dokumen ditandatangani oleh Pengarah Besar FELDA, Datul Dr Suzana Idayu Wati Osman dan Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, Ahmad Syaarani Azulan di Menara FELDA di ibu negara.
Pihak PERKESO pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr Hafez Hussain.
Sesi berkenaan turut disaksikan Pengerusi FELDA, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kawal Selia FELDA, Ahmad Tarmizi Zakaria dan Ahli Lembaga FELDA, Abd Halim Abd Majid.
Sementara itu, PERKESO menjelaskan kerjasama berkenaan turut membabitkan aktiviti advokasi, pendaftaran pencarum, pemudahcaraan pembayaran caruman, khidmat nasihat dan tuntutan faedah bagi komuniti yang layak.
“Dari aspek keselamatan dan kesihatan, program kesedaran, latihan, penaksiran risiko serta saringan kesihatan pekerja termasuk saringan khusus bagi pemandu kenderaan berat turut dilaksanakan secara bersama.
“Skop kerjasama itu diperluas menerusi penawaran skim LINDUNG Kasih bagi suri rumah serta LINDUNG Kendiri untuk peneroka, petugas dan organisasi di bawah Kumpulan FELDA, di samping penekanan terhadap pengurusan kes, advokasi pematuhan dan penyelarasan inisiatif A-CARE SIM Card bagi pekerja asing,” katanya.
Dalam pada itu, bagi memperkasakan generasi baharu FELDA, pelbagai program turut dirancang termasuk pemprofilan dan padanan pekerjaan melalui MYFutureJobs, kaunseling kerjaya, latihan kebolehpasaran, program intervensi serta penganjuran karnival kerjaya.
Selain itu, FELDA dan PERKESO bakal memperluas advokasi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), koperasi, kontraktor, vendor serta pembekal bagi meningkatkan pematuhan dan akses kepada perkhidmatan PERKESO.
Kedua-dua agensi turut meneroka integrasi data menerusi Sosial Sinergi bagi memperkukuh penyasaran, penyampaian, pemantauan dan penilaian program, tertakluk kepada undang-undang serta tatakelola keselamatan maklumat.
Menurut PERKESO, kerjasama strategik itu membuka ruang untuk mendekati Komuniti FELDA secara lebih tersusun serta memastikan akses menyeluruh kepada perlindungan sosial dan peluang pekerjaan.
Pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat menerusi program rintis, kempen, seminar, latihan, saringan dan penempatan pekerjaan yang dipersetujui bersama, dengan kelayakan tertakluk kepada peruntukan undang-undang, kadar caruman serta syarat skim yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








