BERITA SEMASA

Nahas Platform Sepat: Waris mangsa layak terima faedah PERKESO

KUALA TERENGGANU – Waris kepada tiga pekerja pelantar minyak yang terkorban dalam nahas di Platform Sepat pada Ahad lalu layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selain itu, seorang lagi mangsa yang mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut layak menerima bantuan di bawah skim berkenaan.

Ramanan
Datuk Seri R Ramanan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, hasil semakan mendapati keempat-empat mangsa mempunyai rekod caruman aktif, sekali gus melayakkan mereka menerima faedah berkaitan.

““Waris Allahyarham Ahmad Fiqri Zakaria iaitu balu dan anak tunggal lelaki berusia 10 tahun layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM5,355 sebulan.

“Balu dan anak-anak Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam pula layak menerima FOT berjumlah RM3,105 sebulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramanan turut memaklumkan bahawa waris Ahmad Fiqri dan Muhammad Faezuan Hakim masing-masing akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000.

Bagi seorang lagi mangsa yang maut, Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, waris hanya layak menerima FPM RM3,000 kerana arwah masih bujang, manakala ibu bapanya telah meninggal dunia dan adik-beradiknya pula melepasi had umur kelayakan.

Dalam pada itu, mangsa yang terselamat, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 37, layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh rawatannya.

Terdahulu, media melaporkan tiga pekerja maut manakala seorang lagi cedera parah selepas tali pemegang bot keselamatan yang dinaiki mereka tercabut dari Platform Sepat sebelum terjunam ke laut dari ketinggian 20 meter di perairan Terengganu-Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button