BERITA SEMASA

Pencarian warga Turkiye hilang di Pulau Yu ditamatkan

KUALA TERENGGANU – Operasi mencari dan menyelamat ( SAR) seorang warga Turkiye yang hilang di perairan Pulau Yu dekat sini, ditamatkan semalam selepas tujuh hari pencarian tanpa sebarang petunjuk.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi ditamatkan pada pukul 8 malam setelah tiada tanda penemuan Eser Demirkol, 52, yang dilaporkan hilang selepas kapal layarnya karam pada 29 Julai lalu.

“Sepanjang tempoh operasi, kawasan pencarian melibatkan keluasan 457.61 batu nautika persegi menggunakan aset laut dan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Polis Marin,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, pencarian turut melibatkan pasukan penyelam Skuadron Selam daripada Pasukan Tindakan Khas Maritim yang melakukan 10 selaman dalam tempoh empat hari dengan bantuan Kenderaan Jarak Jauh (ROV).

“Beberapa aset Maritim Kelantan juga digerakkan sebagai platform sokongan kepada pasukan penyelam terutama di lokasi pencarian yang mempunyai kedalaman melebihi 50 meter,” katanya.

Tambah Hamiludin, tiada sebarang serpihan atau objek terapung dikesan semasa pencarian udara yang dijalankan dari hari kedua hingga hari ketujuh operasi yang boleh dikaitkan dengan insiden karamnya kapal layar Daisy.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan aset Maritim yang menjalankan rondaan harian akan terus melakukan pemantauan dan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

“Op Carilamat akan diaktifkan semula sekiranya terdapat sebarang petunjuk baharu. Kami juga menyeru komuniti maritim untuk menyalurkan maklumat berkaitan insiden ini dengan menghubungi talian 09-6224 357,” katanya.

Terdahulu, tiga lelaki warga Turkiye dilaporkan menyertai ekspedisi pelayaran mengelilingi benua dari Malaysia ke negara asal mereka pada 28 Julai lalu.

Namun, kapal layar yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut di perairan Pulau Yu pada petang 29 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button