JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu jentolak maut lemas selepas terjunam dalam kolam sisa sawit

RAUB – Seorang pemandu jentolak maut selepas jentera yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik dan terjunam ke dalam kolam buangan sisa di sebuah kilang kelapa sawit di Kampung Tersang, di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa, Mohamad Syariffudin Jemain, 37, yang beralamat di Perumahan Batu Talam, dilaporkan tersepit dan lemas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang mengendalikan jentera penyodok berkenaan dalam kawasan kilang sawit tersebut.

Menurutnya, ketika melakukan pergerakan mengundur, jentera itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik lalu terjunam ke dalam kolam berhampiran.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit dan lemas. Mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sebaik tiba, pihak bomba mendapati jentera berat (shovel) itu telah terjunam ke dalam kolam buangan sisa sawit berukuran 30 x 50 kaki persegi dengan kedalaman kira-kira 4.5 meter.

“Semasa bomba tiba, mangsa telah pun dikeluarkan dari kolam oleh pekerja kilang.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan keadaan sekeliling selamat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button