LUAR NEGARA

Penyanyi AS Oliver Tree antara enam maut dalam nahas helikopter di Brazil

RIO DE JANEIRO – Penyanyi pop alternatif Amerika Syarikat (AS), Oliver Tree dilaporkan antara enam individu yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter yang bertembung di udara sebelum terhempas di pinggir barat Rio de Janeiro, Brazil pada Ahad.

Menurut agensi berita antarabangsa yang memetik sumber polis, nama penyanyi dan personaliti internet berusia 32 tahun itu tersenarai dalam manifest penumpang salah sebuah helikopter yang terbabit dalam insiden berkenaan.

Bagaimanapun, proses pengecaman rasmi mangsa masih belum dapat dilakukan kerana keadaan mayat yang melecur teruk akibat kebakaran.

Nahas berlaku di kawasan Recreio dos Bandeirantes apabila kedua-dua helikopter bertembung di udara sebelum terhempas ke kawasan parkir sebuah pengedar kenderaan elektrik.

helikopter
Keadaan salah sebuah helikopter yang terhempas dalam insiden di pinggir barat Rio de Janeiro, Brazil semalam.

Pasukan bomba memaklumkan, impak nahas menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan kira-kira 20 buah kenderaan.

Salah sebuah helikopter membawa lima penumpang manakala sebuah lagi hanya dinaiki juruterbang.

Semua individu yang berada dalam kedua-dua pesawat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Selain Tree, antara penumpang lain yang dilaporkan berada dalam helikopter sama ialah seorang penerbit muzik dari Brazil, seorang pengarah video dari Argentina dan YouTuber Argentina, Gaspar Prim atau lebih dikenali sebagai ‘Gaspi’.

Oliver Tree dikenali menerusi imej unik dengan gaya rambut mangkuk serta persona eksentrik yang menjadikannya popular dalam kalangan peminat muzik alternatif dan media sosial.

Antara lagu hit nyanyiannya termasuk Life Goes On, Miss You dan Alien Boy.

Artis itu mempunyai lebih 11 juta pendengar bulanan di platform Spotify, manakala beberapa lagunya mencatat ratusan juta jumlah penstriman di seluruh dunia.

Berdasarkan hantaran terkini di Instagram, Tree berada di Brazil sejak beberapa hari lalu dan baru sahaja mengadakan persembahan di Sao Paulo pada 6 Jun sebagai sebahagian daripada jelajah konsert yang merangkumi lebih 30 negara.

Beliau dijadualkan meneruskan siri jelajah tersebut dengan persembahan seterusnya di Lisbon, Portugal pada 1 Julai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button