Pelantikan leftenan jeneral berbangsa Cina: Steven Sim sedia disaman Zaharuddin
PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bersedia untuk disaman oleh Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad berhubung kenyataannya yang menghasut sentimen perkauman susulan pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Steven berkata, beliau hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan ATM.
“Beliau sendiri yang menghasut sentimen perkauman dengan memperalat gambar pelantikan Leftenen Jeneral ATM berbangsa Cina.
“Malah, parti beliau sendiri turut mengakui ahlinya bertindak sedemikian dalam kenyataan media mereka.
“Saya hanya bersuara melawan tindakan perkauman tersebut dan mempertahankan Angkatan Tentera Malaysia. Sekarang, kamu nak ambil tindakan undang-undang terhadap saya?” soalnya dalam satu hantaran menerusi laman media sosialnya hari ini.

Dalam pada itu, Steven turut menegaskan yang beliau tidak akan berganjak dari melawan pemimpin PAS itu yang bersikap perkauman, rasis dan menghina perajurit kita.
“Kalau kerana mempertahankan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan martabat ATM maka saya mahu disaman oleh pemimpin PAS itu, saya bersedia!
“Saya tunggu surat saman daripada peguamnya. Apalah sangat perjuangan kecil saya ini jika dibandingkan dengan nilai perpaduan masyarakat Malaysia dan pengorbanan serta maruah anggota ATM kita.
“Saya menggesa sekali lagi agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap Zaharuddin,” tegasnya.
Kelmarin, ATM mengumumkan pelantikan Johnny Lim yang disifatkan sebagai melakar sejarah kerana beliau merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi itu.
Ekoran itu, Zaharuddin membuat hantaran di media sosial kelmarin yang seolah-olah mempertikai pelantikan tersebut dengan mengaitkan tidak mustahil pada masa akan datang Malaysia akan menerima Perdana Menteri berbangsa Cina yang pertama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments