Operasi SAR Tengku Nizaruddin ditamatkan, fokus pencarian ke lokasi baharu
MUAR – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pempengaruh pemotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang sebelum ini ditamatkan hari ini selepas pencarian intensif selama beberapa hari di Sungai Tui, Lenga, tidak menemukan sebarang petunjuk.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, keputusan menghentikan operasi di lokasi berkenaan dibuat berikutan tiada perkembangan baharu yang dapat mengesahkan keberadaan mangsa di kawasan tersebut.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) turut ditutup hari ini, selari dengan penamatan operasi SAR di lokasi Sungai Tui. Proses pencarian terperinci telah selesai namun masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam satu kenyataan.
Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Jalan Setia Indah, Johor Bahru kira-kira pukul 12 tengah hari pada Selasa lalu dengan tujuan ke bengkel rakannya di Parit Jawa.
Sehari selepas itu, kereta yang disahkan milik mangsa ditemui tenggelam di dalam Sungai Tui namun operasi SAR gagal menemukan mangsa.
Operasi SAR sebelum ini digerakkan secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), unit dron, Unit Anjing Pengesan (K9), Pasukan Polis Marin, dan Pasukan Gerakan Am (PGA).
Jelas Raiz, keputusan menghentikan pencarian di kawasan Sungai Tui dibuat atas beberapa faktor, antaranya bagi memberi laluan kepada usaha memperluas pencarian ke lokasi-lokasi lain yang mungkin berkait dengan kehilangan mangsa.
“Selain itu, penamatan ini juga bertujuan memudahkan penyelarasan antara agensi terlibat, terutama jika wujud faktor-faktor baharu yang berkait rapat dengan kes ini,” tambahnya.
Walaupun operasi utama telah ditamatkan, usaha pencarian tetap diteruskan secara berkala oleh anggota Balai Polis Lenga dengan bantuan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








