JENAYAH & MAHKAMAH

Reman pempengaruh agama disambung 5 hari, siasatan penyelewengan dana NGO diteruskan

SEREMBAN – Tempoh reman terhadap seorang pempengaruh agama media sosial disambung selama lima hari sehingga 1 Mei depan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta.

Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban hari ini, sejurus tamat tempoh reman asal terhadap suspek.

Suspek yang dibawa oleh pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, suspek diwakili peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff daripada Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

BACA JUGA:

Pendakwah bebas seleweng dana NGO: SPRM sita aset RM4 juta

Sebelum ini, SPRM Negeri Sembilan menahan reman suspek selama lima hari sejak Rabu lalu selepas disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana NGO tempatnya bekerja untuk kepentingan peribadi.

Dalam perkembangan siasatan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, setakat ini seramai 15 saksi telah dirakam percakapan, dan lebih kurang 14 hingga 15 lagi saksi dijangka dipanggil bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut beliau, jumlah penyelewengan yang sebelum ini dianggarkan sekitar RM12 juta kini meningkat kepada RM18 juta selepas penemuan baharu hasil siasatan pihaknya.

Katanya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 selain Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana disyaki menggunakan harta secara curang.

“Selain itu, kita juga membuka siasatan melibatkan kes pengubahan wang haram,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button