BERITA SEMASA

Sungai Janda Baik didakwa tercemar, pengunjung alami cirit-birit dan muntah

BENTONG – Kawasan rekreasi sungai di Janda Baik kini menjadi perhatian apabila terdapat dakwaan berlakunya pencemaran selepas beberapa pengunjung mengalami simptom cirit-birit, muntah-muntah dan demam sebaik berkunjung ke lokasi berkenaan.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman meminta orang ramai yang mengalami simptom berkenaan supaya menyalurkan maklumat kepada pihak penginapan seperti resort, chalet atau tapak perkhemahan bagi membantu proses siasatan dan pemetaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi mengenal pasti kawasan yang mungkin terjejas.

“Salam semua, kepada pengunjung luar yang datang mandi sungai di Janda Baik dan menghadapi masalah cirit-birit atau muntah-muntah mohon maklum kepada resort, chalet atau campsite yang dikunjungi supaya pihak PKD boleh buat mapping kawasan yang ada aduan,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi Threads hari ini.

Beliau turut meminta orang ramai menghubungi talian hotline Pejabat Parlimen Bentong bagi menyalurkan maklumat berkaitan.

Bagaimanapun, dakwaan itu mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mengaitkan kemungkinan punca kejadian bukan hanya daripada air sungai.

Seorang pengguna Threads, Jay_Rsb21 mendakwa insiden kesihatan tersebut berlaku selepas gangguan bekalan air paip di kawasan Janda Baik sehari sebelum sambutan Aidiladha, sebelum air kembali disalurkan dalam keadaan keruh dan berklorin tinggi.

Menurutnya, keadaan itu didakwa menyebabkan ramai penduduk dan pengunjung mengalami simptom sama termasuk mereka yang tidak mandi di sungai.

“Ramai yang sakit perut, cirit-birit, muntah dan demam panas. Bukan isu air sungai semata-mata kerana ada juga yang tidak mandi sungai turut terkena,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, mm_1905 mendakwa turut menerima aduan sama daripada komuniti perkhemahan di Hulu Sungai Benus, yang turut popular sebagai lokasi perkelahan dan aktiviti luar.

“Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung yang kerap beriadah di kawasan berkenaan,” katanya lagi.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa berhubung punca sebenar kejadian, dan siasatan lanjut dijangka dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada pencemaran air sungai atau faktor lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button