Mayat dikerat 7: Lelaki warga emas didakwa bunuh bekas tunang
KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bekas tunangnya yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat di sebuah tong sampah komuniti di Taman Indah Permai, Sepanggar, baru-baru ini.
Tertuduh, Piluta Samad, 71, didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa, 44, di sebuah rumah di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, antara jam 6 petang hingga 7 petang pada 11 Februari lalu.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding, tertuduh memaklumkan bahawa beliau memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA), patologi, forensik dan kimia.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 44 tahun ditemui mati dengan mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian dan dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah di Indah Permai, di sini.
Suspek kemudian berjaya ditahan polis dalam tempoh kurang 24 jam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








