BERITA SEMASA

Malaysia, China mulakan mesyuarat dua hala tahunan pendidikan tinggi

PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan pelaksanaan mesyuarat dua hala tahunan antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan tinggi yang membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam sektor berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mesyuarat rasmi pertama itu akan diadakan di China tahun ini sebelum diteruskan secara bergilir-gilir antara kedua-dua negara pada masa akan datang.

“Pada dasarnya kerajaan telah pun meluluskan mesyuarat dua hala melibatkan Malaysia dan China dalam bidang pendidikan tinggi.

“Tahun ini merupakan permulaan kepada mesyuarat rasmi tersebut yang akan diadakan di China, manakala tahun hadapan pula akan berlangsung di Malaysia sebelum diteruskan secara bergilir-gilir pada tahun-tahun berikutnya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Syarahan Umum oleh sarjana terkemuka China, Profesor Li Cheng yang juga pakar hubungan antarabangsa khususnya melibatkan Amerika Syarikat, China dan ASEAN.

Profesor Li Cheng memberi syarahan umum mengenai topik Hubungan China-AS dan impaknya pada Malaysia di KPT hari ini. – Foto Hafiz Aiman Mohd Shariff/Malaysia Tribune

Menurut Zambry, pelaksanaan mesyuarat tahunan itu mencerminkan hubungan pendidikan tinggi yang semakin erat antara kedua-dua negara, selain membuka ruang kepada pertukaran idea, kerjasama penyelidikan dan pembangunan bakat.

Katanya, perkembangan itu juga selari dengan perubahan landskap pendidikan tinggi global yang kini menyaksikan China muncul sebagai antara pusat utama pendidikan dunia.

“Jika dahulu pusat pendidikan tinggi dunia berada di Jerman sekitar tahun 1810 hingga 1930-an sebelum beralih ke Amerika Syarikat, dalam tempoh dua hingga tiga dekad kebelakangan ini kita melihat pusat graviti pendidikan tinggi dunia mula beralih ke China.

“Perubahan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan memanfaatkan perkembangan pesat yang berlaku dalam sektor pendidikan tinggi di negara tersebut,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan Malaysia akan terus mengekalkan hubungan pendidikan tinggi yang seimbang dengan pelbagai negara lain sambil meneroka lebih banyak peluang kerjasama baharu bersama China.

Mengulas kunjungan Profesor Li, Zambry berkata, tokoh akademik itu menyuarakan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power) yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan dunia.

Menurutnya, Profesor Li berpandangan Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk memainkan peranan sebagai pengantara dalam membantu menyelesaikan konflik antarabangsa walaupun negara ini bukan sebuah kuasa besar.

“Beliau melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang boleh memainkan peranan penting dalam membawa pihak-pihak yang berkonflik ke meja rundingan dan menjadikan negara ini sebagai lokasi mediasi bagi menyelesaikan pertikaian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button