JENAYAH & MAHKAMAH

Mahkamah benarkan inkues kenal pasti punca kematian pegawai kadet PALAPES UiTM

CYBERJAYA – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan inkues dijalankan berhubung kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Muhammad Amir Rusyaidi Muhamad Zaidi, November tahun lalu.

Hakim Roszianayati Ahmad bagaimanapun menolak permohonan untuk menggali semula kubur Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Firdaus Kampung Sungai Lang di Banting, Kuala Langat.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti notis usul dan afidavit yang difailkan serta hujahan pihak-pihak yang terbabit, lapor BH Online.

Hakim turut mengarahkan polis membuka semula siasatan bagi mengetahui punca kematian pelatih berkenaan.

Dalam prosiding hari ini, Roszianayati berkata, tiada percanggahan mengenai sebab kematian si mati sehingga jasadnya perlu digali dan dibuat bedah siasat kedua.

Katanya, punca kematian Allahyarham sudah dikenal pasti melalui pemeriksaan dan rawatan yang dijalankan pasukan perubatan di Hospital Shah Alam, iaitu strok haba yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Bapa Allahyarham, Muhamad Zaidi Abdul Rahman selaku pemohon diwakili peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Nur Izzati Hafieza Ismail dan Putri Ainaa Amiera Megat Mustaffa Albakri.

Manakala respondan pertama iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) diwakili oleh Nurul Huda Mohd Salehuddin dan Nur Syahidah Mohamad Kamil, sementara respondan kedua iaitu AGC diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Kalmizah Salleh.

Terdahulu, media melaporkan mahkamah menetapkan 20 November bagi pendengaran keputusan permohonan gali semula kubur Allahyarham Muhammad Amir Rusyaidi.

Tarikh itu ditetapkan selepas pihak KDN dan AGC sebagai responden, memohon masa untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap permohonan yang dibuat Muhamad Zaidi.

Dalam kejadian pada 10 November 2024, pelajar UiTM itu dikatakan pengsan semasa menyertai sesi latihan di padang kawad sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Ahli keluarganya melalui satu sidang media berharap siasatan telus dan komprehensif dijalankan oleh pihak polis bagi menuntut keadilan buat anak sulung daripada empat beradik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button