BERITA SEMASA

KSU KPT terharu terima semula borang permohonan pengajian diploma 1986 di ITM

PUNCAK ALAM – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), Datuk Dr. Aneese Ibrahim terharu apabila menerima semula sebuah cenderamata yang penuh makna daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Inilah asal-usul saya dan saya bangga menjadi produk pendidikan tinggi negara,” ujar beliau.

Cenderamata itu merujuk kepada sehelai Borang KRP 1 iaitu borang permohonan asal beliau untuk mengikuti pengajian peringkat diploma di Institut Teknologi MARA (ITM) yang diisi pada tahun 1985 sebelum namanya ditukar kepada UiTM.

Dr. Aneese teruja menerima borang tersebut ketika melawat kampus UiTM Puncak Alam semalam.

Dr. Anesee menerima borang tersebut daripada Naib Canselor UiTM, Profesor Ts. Dr. Shahrin Sahib semasa lawatan rasmi beliau ke UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, di sini semalam.

Borang tersebut memaparkan gambar hitam putih dan tulisan tangan Dr. Aneese yang memohon untuk mengikuti kursus Diploma Sains Komputer iaitu bidang yang kini menjadi asas kepada transformasi digital negara.

“Saya sangat terharu dan tersentuh. Tak sangka borang asal saya ini masih disimpan.

“Ia membangkitkan semula kenangan ketika saya datang ke ITM sebagai anak muda dari kampung yang hanya berbekalkan harapan dan semangat untuk mengubah nasib keluarga,” tambah beliau.

Dr. Anesee merupakan salah seorang tokoh pentadbiran tinggi kerajaan yang telah menempuh sebahagian besar perjalanan akademiknya di UiTM.

Beliau melengkapkan tiga tahap pendidikan tinggi di institusi tersebut, bermula dengan Diploma Statistik (1988), diikuti dengan Diploma Lanjutan (1991) dan akhirnya Ijazah Sarjana Sains (2000).

Borang permohonan Dr. Aneese yang bertulis tangan ketika memohon kemasukan ke ITM pada tahun 1985.

Kejayaan beliau diteruskan dengan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Statistik di Durham University, United Kingdom pada tahun 2009.

Selain kepakarannya dalam bidang statistik, Dr. Anesee juga pakar dalam pengurusan sumber manusia, hal ehwal antarabangsa dan pembangunan organisasi.

Kepelbagaian kompetensinya menunjukkan betapa luasnya peranan yang beliau mainkan dalam sektor awam, sekali gus membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi tempatan, terutamanya UiTM berupaya melahirkan pemimpin berkaliber.

Kejayaan beliau bukan sekadar hasil kecemerlangan peribadi tetapi juga menunjukkan bahawa sistem pendidikan tinggi negara mempunyai kapasiti tinggi dalam menyediakan laluan pendidikan dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi pentadbiran negara.

“Kejayaan saya adalah manifestasi daripada sistem pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berasaskan merit.

“UiTM membuka peluang kepada saya, membentuk saya dan akhirnya melahirkan saya sebagai insan yang bersedia menyumbang kepada negara,” kata beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button