Komen hantaran di media sosial punca salah faham isu boikot Masjid At-Taqwa – Ketua Imam
KUALA LUMPUR – Ketua Imam (Naqib) Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir menjelaskan, isu tular membabitkan dakwaan fitnah dan gesaan memboikot masjid itu berpunca daripada salah faham susulan komen menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut beliau, hantaran tersebut memaparkan gambar persiapan berbuka puasa pada pukul 6.32 petang, 22 Februari lalu, yang menunjukkan ruang masjid masih belum dipenuhi jemaah.

“Saya difahamkan, individu itu mungkin sekadar ingin membuat promosi dan mengajak orang ramai berbuka puasa di masjid.
“Cuma dari hantaran tersebut, orang ramai telah banyak meninggalkan komentar. Ada yg baik dan ada tak baik. Jadi, komentar yang tidak baik itu telah mencetuskan beberapa isu ketidakpuasan hati.
“Sebenarnya, pukul 6.30 petang memang masih awal. Memang tak ada orang. Biasanya sekitar pukul 7 petang barulah orang akan ramai,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Ahmad Fakhruddin menegaskan, setiap hari antara 800 hingga 1,000 jemaah hadir berbuka puasa di masjid berkenaan sepanjang Ramadan, malah ada ketikanya jumlah itu melebihi 1,000 orang, sama seperti tahun sebelumnya.
BACA JUGA:
Pengerusi nafi Masjid At-Taqwa diboikot, kehadiran jemaah cecah 1,000 sehari
Beliau berkata, isu menjadi tular apabila muncul pelbagai komen negatif susulan hantaran berkenaan, termasuk dakwaan kononnya terdapat jemaah muslimat atau ahli jawatankuasa (AJK) masjid berkasar dengan jemaah.

“Dalam ruangan komen, ada pelbagai istilah digunakan seperti ‘makcik mulut puaka’ dan ‘makcik T20’, malah ada yang menuduh AJK bertindak kasar terhadap jemaah. Setakat ini, pihak masjid sedang mengenal pasti dakwaan tersebut.
“Pada hemat saya, dakwaan ini mungkin benar ataupun mungkin tidak. Jika benar wujud, ia tidak melibatkan semua, mungkin hanya segelintir sahaja. Kami sedang siasat dan jika didapati benar, tindakan penambahbaikan akan diambil,” jelasnya.
Mengulas dakwaan kononnya masjid difitnah menerusi akaun Thread, beliau berkata, pihak masjid tidak melihat individu yang memuat naik hantaran asal sebagai berniat jahat.
“Posting pertama itu saya kira bukan bertujuan memfitnah. Mungkin sekadar mahu menghasilkan kandungan. Namun komen-komen susulan daripada pihak lain yang mencetuskan polemik hingga ia menjadi tular,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








