AGAMABERITA SEMASA

Pengerusi nafi Masjid At-Taqwa diboikot, kehadiran jemaah cecah 1,000 sehari

KUALA LUMPUR – Kehadiran jemaah berbuka puasa di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail dilaporkan mencecah sehingga 1,000 orang setiap hari, sekali gus menafikan dakwaan kononnya masjid itu diboikot susulan satu hantaran tular di media sosial baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, hantaran dimuat naik oleh seorang pengguna Threads pada 22 Februari lalu sekitar pukul 6.32 petang yang memaparkan suasana lengang tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Menurut beliau, kebiasaannya jemaah mula memenuhi ruang masjid sekitar pukul 7 malam, iaitu hampir waktu berbuka puasa.

Masjid At-Taqwa
Kenyataan rasmi yang dikeluarkan pengurusan Masjid At-Taqwa berhubung dakwaan diboikot. 

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kehadiran jemaah untuk berbuka puasa di masjid ini sangat menggalakkan, malah mencecah sehingga 1,000 orang setiap hari.

“Justeru, dakwaan bahawa masjid diboikot adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihak masjid sentiasa menyantuni semua jemaah tanpa sebarang syarat dan ada kalanya perlu menempah makanan tambahan apabila kehadiran melebihi jangkaan.

Selain penyediaan juadah berbuka di masjid, makanan turut diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail serta dihantar ke rumah ahli kariah yang uzur.

“Untuk makluman, pihak masjid telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000.00 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan bagi tahun ini,” jelasnya.

Mohd Fadzli berkata, purata kehadiran solat Subuh berjemaah turut mencatat angka memberangsangkan dengan ratusan jemaah hadir setiap hari, mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam mengimarahkan masjid.

Tegasnya, masjid berkenaan juga aktif menganjurkan pelbagai program pengajian agama melibatkan kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha dan Zohor khusus untuk muslimat dengan bimbingan asatizah bertauliah.

“Selain itu, pihak masjid telah merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak.

“Antaranya ialah kelas mengaji Al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, hari kanak-kanak peringkat masjid, program Khatan Perdana dan program Kids Zone sepanjang Ramadan dan program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran,” katanya

Malah, aktiviti riadah seperti pertandingan karom dan e-sukan turut dianjurkan bagi menarik minat belia mendekati masjid.

Beliau menegaskan segala urusan pentadbiran dan kewangan masjid dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan.

Bersempena Ramadan, beliau turut menyeru umat Islam agar memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini untuk memperkukuh ukhuwah dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Raikan kepelbagaian dalam perbezaan dan semai kesatuan pada titik persamaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button