
Boikot: Nestle, Starbucks alami kesan negatif
KUALA LUMPUR – Produk Nestle dan Starbucks di bawah Berjaya Food mengalami kesan negatif susulan boikot yang dilancarkan pengguna.
RHB Research menerusi satu nota penyelidikan berkata, kejadian lalu bagaimanapun menunjukkan kesan kecil terhadap perolehan atau harga saham, jika ada, menurut laporan Harian Metro.
“Biarpun begitu, kami percaya boikot ini mungkin lebih memberi kesan buruk kepada Starbucks berbanding Nestle. Hal ini demikian memandangkan perbezaan dalam permintaan dan persaingan.
“Barangan Starbucks secara amnya bukan keperluan dan berada dalam pasaran yang mempunyai persaingan lebih sengit yang mana pilihan-pilihan lain mudah didapati, manakala barangan Nestle kebanyakannya adalah makanan ruji dan ia memegang bahagian pasaran yang besar dalam kebanyakan segmen barangan yang diceburi.
“Buat masa ini, kami tidak mengubah ramalan perolehan sementara menunggu perkembangan lanjut dan bayangan daripada pihak pengurusan,” katanya dalam nota yang ditulis penganalisis, Soong Wei Siang dan Tai Yu Jie.
Dalam perkembangan lain, RHB Research berkata, sentimen pengguna yang hambar dan perbelanjaan berjaga-jaga dilihat berterusan pada suku ketiga 2023, iaitu suku yang lazimnya perlahan dengan ketiadaan perayaan besar dan cuti yang panjang.
Oleh itu, katanya pertumbuhan pendapatan kasar syarikat-syarikat produk pengguna mungkin tidak begitu menggalakkan, berbanding asas tinggi pada suku kedua 2022 yang didorong oleh pembukaan semula ekonomi pascapandemik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















