BERITA SEMASA

Kemajuan negara perlu berpaksi nilai, adab – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kemajuan negara yang mengetepikan nilai dan adab hanya akan membawa kepada pembangunan tanpa arah.

Sehubungan itu, Anwar menekankan pentingnya peranan guru dalam membentuk generasi berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Guru hari ini, beliau berkata warga pendidik memainkan peranan penting dalam memastikan ilmu yang disampaikan tidak terpisah daripada nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan.

“Tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah.

“Keunggulan guru dalam bilik darjah melahirkan modal insan bermutu menjadi asas kepada kestabilan sosial, perpaduan dan kemakmuran negara,” katanya.

Beliau berkata, guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah menjadi pembentuk sahsiah serta pemupuk nilai dalam kalangan pelajar, khususnya ketika dunia berdepan cabaran yang semakin kompleks.

Beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab tersebut amat kritikal bagi melahirkan generasi yang kental daripada segi akhlak dan jiwa, sekali gus menepati hasrat penubuhan masyarakat MADANI.

“Guru bukan sekadar penyampai, penyebar ilmu tetapi juga pembimbing yang membina pemikiran kritis, penyunting semangat jati diri dan pembentuk sahsiah atau keperibadian dan akhlak mulia yang akan menjamin generasi yang ada kekuatan, berdaya saing menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan dedikasi warga pendidik yang disifatkan sebagai tunjang pembinaan anak bangsa serta pencorak akhlak, nilai dan ketamadunan negara.

“Kita harus terus menjalankan tugas sebagai bitara, agar melahirkan generasi MADANI, berilmu, berakhlak dan berdaya saing,” katanya.

Perdana Menteri juga berkongsi pengalaman ketika menjadi tenaga pengajar semasa menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an, yang membuka pandangannya terhadap realiti pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Ketika itu, saya melihat ramai anak muda daripada keluarga susah tercicir daripada pendidikan, datang dengan kegelisahan tentang masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata pengalaman itu mengukuhkan keyakinan bahawa tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan serta menanam harapan dalam kehidupan pelajar.

Anwar turut mendoakan agar seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi masa depan negara yang lebih maju, sejahtera dan mampan.

“Selamat Hari Guru, Guru Bitara Nadi Negara”, katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button