Hampir RM20 bilion disalur, kadar kemiskinan tegar susut kepada 0.09 peratus
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh kerajaan tahun ini membuahkan hasil apabila kadar kemiskinan tegar negara berjaya diturunkan kepada hanya 0.09 peratus, hasil penyaluran hampir RM20 bilion kepada golongan berpendapatan rendah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah berkenaan meliputi pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain sokongan padu daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Daripada senarai yang dimasukkan, baki 0.09 peratus itu adalah kategori kemiskinan tegar. Itu angka awal tahun, dan kini semua kes dalam senarai berkenaan telah diselesaikan, bukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja tetapi juga hasil kerjasama kerajaan negeri serta Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan keseluruhan semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan data e-Kasih, bilangan isi rumah miskin tegar kini berkurangan dengan ketara hasil pelbagai pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Kita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya. Langkah-langkah yang diambil ini menunjukkan keberkesanan dasar kerajaan dalam memastikan tiada keluarga tercicir daripada arus pembangunan negara,” ujar beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








