BERITA SEMASA

PM rakam penghargaan, tegaskan kebebasan bersuara perlu terus disemarak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada semua petugas keselamatan dan sukarelawan yang terlibat dalam memastikan kelancaran dan keselamatan himpunan yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pihak polis, bomba, pasukan perubatan dan para sukarelawan wajar dipuji kerana berjaya mengawal situasi dengan tertib dan profesional.

“Saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas yang telah bertugas dengan ketangkasan, disiplin dan dedikasi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial rasmi beliau, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta himpunan yang hadir menyuarakan pandangan dan solidariti secara aman, termasuk yang hadir dari luar Lembah Klang.

“Kepada saudara saudari yang hadir sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh, saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing. Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” katanya lagi.

Menurut Anwar, beliau kekal berpegang teguh kepada prinsip demokrasi yang menghormati kebebasan bersuara dan menyatakan kritikan secara beradab dan aman.

“Sebagai Perdana Menteri, saya konsisten berpegang pada prinsip demokrasi. Kritikan dan perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat sebagai permusuhan, sebaliknya ia perlu menjadi nadi kepada negara bangsa yang matang dan progresif,” katanya lagi.

Anwar turut mengajak rakyat untuk terus memanfaatkan ruang dialog yang tersedia termasuk sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen yang memberi peluang kepada ahli Parlimen bertanya secara langsung kepada beliau.

“Mohon kalian terus desak ahli Parlimen agar hadir dan aktif dalam sesi PMQT. Ia satu wadah penting dalam proses semak dan imbang,” katanya lagi.

Beliau menyeru agar rakyat tidak hanya terhenti di jalanan, sebaliknya terus membina kekuatan ilmu, kemahiran dan keterlibatan aktif dalam pelbagai bidang demi kemajuan negara.

“Saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu serta membina negara ini bersama tidak sekadar di jalanan tetapi juga menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini terus dilonjak ke hadapan,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak orang ramai untuk kembali ke Kuala Lumpur kerana ibu kota sedang giat menjalani proses pemuliharaan lokasi bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka sebagai sebahagian persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Banyak aktiviti menarik menanti. Ia bukan sahaja meningkatkan sektor pelancongan, malah menyemarakkan semangat nasional dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button