BERITA SEMASADALAM NEGERI

Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru sedia berunding, mahu operasi pengosongan dihentikan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung kontroversi operasi pengosongan di kawasan kampung itu semalam.

Peguam yang mewakili jawatankuasa berkenaan, N. Surendran berkata, sementara menunggu proses rundingan dimuktamadkan, pihaknya menuntut agar operasi pengosongan dihentikan buat sementara waktu.

“Tidak mungkin perbincangan dapat berjalan dengan baik sekiranya pada masa yang sama tindakan pengosongan masih diteruskan.

“Kita tidak menolak pembangunan, kita sedia pada bila-bila masa termasuk pada cuti hujung minggu ini untuk berbincang dengan wakil kerajaan,” jelasnya dalam satu sidang media di ibu negara hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala semasa operasi pengusiran terhadap penduduk Kampung Sungai Baru yang enggan berpindah.

Difahamkan, beliau cedera ketika kekecohan tercetus selepas beberapa penduduk cuba memaksa untuk masuk ke kawasan operasi.

Susulan insiden itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan menghantar Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menguruskan kemelut yang timbul di kampung berkenaan.

Sementara itu, Surendran berkata, mereka menyahut cadangan Ahmad Zahid untuk mengadakan perbincangan dengan wakil kerajaan itu.

“Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia juga bersimpati kepada mangsa-mangsa di sini, dia juga menyatakan seorang wakil kerajaan dan juga ahli parlimen kawasan ini untuk turun dan bantu menyelesaikan masalah di Kampung Sungai Baru.

“Kita sedia untuk berbincang dengan wakil kerajaan seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button